Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tidak menolak dakwaan terdapat segelintir pemain yang besar kepala dan tidak menghormati jurulatih dalam skuad kebangsaan sehingga menjadi virus yang menggugat prestasi skuad negara sendiri.

Kecoh satu waktu dulu apabila timbul dakwaan mengatakan kuasa pemain lebih besar daripada jurulatih.

Dengan perumpamaan terlebih sudu daripada kuah, hal itu sebenarnya masalah besar yang perlu dihapuskan terlebih dahulu sebelum memikirkan bagaimana cara untuk membina pasukan ampuh di atas padang.

Isu pemain besar kepala dan mempunyai pengikut dalam kalangan pemain muda bukan perkara baru dalam skuad kebangsaan, malah ia dipraktikkan ketika bersama dengan skuad negeri dan kelab lagi.

"Seperti yang saya katakan, kami memerlukan proses baik pulih secara keseluruhan. Tidak guna kalau kita lantik Carlo Ancelotti sekalipun tetapi ada sembilan pemain senior yang mogok, kemudian pemain yang lain ikut serta.

"Selama ini, kita tidak pernah membentuk pemain, itu sahaja," ujar Tunku Ismail.

Hal tersebut mendapat perhatian Tunku Ismail dengan melihat tiada pembentukan profesionalisme dalam kalangan pemain menjadi punca isu itu semakin menular.

Paling menyedihkan, hal itu berlanjutan kesan daripada pemain senior yang memberi tunjuk ajar negatif kepada pemain muda.

"Tidak kira berapa ramai sekalipun pemain muda dari seluruh negara diserap masuk tetapi mereka akan dipengaruhi oleh pemain-pemain senior ini.

"Itu tugas kelab dan persatuan negeri untuk memastikan individu-individu ini tidak mendapat terlalu banyak kuasa dalam pasukan," tambah Tunku Ismail.

Dalam perkembangan lain, skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya menumpaskan PJ Rangers 8-2 dalam aksi pemanas pertama petang tadi sempena menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

R. Kogileswaran mencetak hatrik dalam tempoh enam minit ketika permainan berbaki 11 minit dengan penyerang B-19, Hadi Fayyadh Abdul Razak, turut menyumbang dua gol manakala masing-masing satu gol daripada Safawi Rasid,Jafri Firdaus Chew dan Sean Eugene Selvaraj.

PJ Rangers pula berjaya menembusi pintu gol B-23 pada setiap babak menerusi Arif Anwar dan Izzat Ikmal Azpawi.