Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah calon pilihan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) kerana pendekatannya yang turun padang, prihatin dengan kebajikan pemain serta memiliki visi untuk memajukan bola sepak.

Presiden PJBM, B. Sathianathan, berkata tiga ciri-ciri itu penting bagi mana-mana individu untuk menerajui FAM.

Sathianathan adalah antara 12 pegawai ahli gabungan badan induk bola sepak negara yang mengadakan pertemuan tertutup dengan Tunku Ismail baru-baru ini bagi memberi sokongan terhadap pencalonan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebagai presiden FAM.

"Ketika ini, FAM memerlukan seorang pemimpin yang boleh menjaga persatuan dan juga menjaga pemain-pemain.

"Kita harus ingat, bukan hanya pasukan kebangsaan, tetapi kita mempunyai skuad B-22, B-19, B-17 dan sebagainya," jelas Sathianathan, yang juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan.

Tunku Ismail sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tidak berminat menerajui FAM kerana bimbang akan berat sebelah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, namun Sathianathan berasa situasi itu akan berubah sebaik beliau menerajui persatuan itu.

Katanya, Tunku Mahkota Johor akan bersikap adil dengan semua ahli gabungan jika mendapat mandat dan kepercayaan ahli gabungan sebagai presiden FAM.

"Jika beliau menjadi presiden, beliau akan menyayangi semua negeri, semua ahli gabungan kerana beliau adalah presiden semua.

"Mungkin beliau belum menjadi presiden. Apabila beliau menjadi presiden FAM, mungkin beliau akan menukar fikiran dan tidak akan hanya menumpukan perhatian kepada JDT tetapi kepada seluruh negara."

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk mengundur diri daripada jawatan itu dan bersetuju menyerahkan mandat kepada ahli gabungan bagi menentukan barisan kepimpinan baru pada Kongres Tahunan FAM ke-53, awal tahun depan.

Tengku Abdullah terpilih sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu pada Mei 2014 untuk tempoh empat tahun.