Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, masih berahsia mengenai status Kevin Ramalingam yang dilaporkan sudah melepaskan jawatan ketua pegawai eksekutif badan itu.

Hamidin, yang ditemui selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Junior RSC-Datuk Chu Ah Nge Ke-15, berkata beliau masih belum mendapat sebarang laporan berhubung perkara berkenaan.

"Tentang perkara itu (peletakan jawatan), MFL akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini.

"Saya belum dapat lagi laporan penuh, mungkin dalam masa terdekat.

"Sama ada sahih atau tidak, kami akan keluarkan kenyataan... tunggu kenyataan rasmi,” katanya.

Spekulasi mengenai peletakan jawatan Kevin hangat diperkatakan selepas laporan sebuah blog yang mendakwa semalam merupakan hari terakhir beliau di MFL dan telah mengucapkan selamat tinggal kepada petugas di MFL.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, pernah mendesak agar Kevin melepaskan jawatan itu ekoran tidak puas hati dengan cara Kevin mengenakan pemotongan geran.

Isu itu kembali panas diperkatakan apabila ura-ura mengatakan adanya usul daripada pemegang taruh MFL agar Kevin melepaskan jawatan.

Difahamkan, kelewatan pengagihan geran tahunan sepertimana yang dijanjikan antara punca mengapa Kevin menjadi sasaran kecaman dan diminta melepaskan jawatannya.

— BERNAMA