Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk penganjuran kali pertama Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN dari 4 hingga 10 Disember depan.

Sebanyak tujuh negara menyertai kejohanan ini yang bakal menjadi acara dwitahunan untuk masa akan datang.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar, manakala Kumpulan A dihuni Thailand, Kemboja, Indonesia dan Laos.

Menurut Presiden Persekutuan Sukan Orang Pekak ASEAN, Kamarzaman Haron, tiga negara membabitkan Singapura, Filipina dan Brunei berhadapan dengan kekangan persediaan pasukan dan hanya akan menyertai kejohanan ini untuk penganjuran akan datang.

"Kalau ikutkan memang kami mahu menganjurkan kejohanan ini dengan 10 pasukan dan kami masih menunggu keputusan mereka.

"Dengan tiga negara lain akan menyertai kejohanan ini pada masa akan datang, maka akan lengkaplah 10 pasukan ASEAN bertanding dan kami positif mengenainya," katanya.

Tambah Kamarzaman, penganjuran buat julung kalinya ini merupakan platform terbaik untuk golongan kurang pendengaran berada pada pencapaian baik di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu menunjukkan bahawa orang pekak juga mampu bersukan seperti golongan lain.

"Kita harus bangga kerana ini adalah langkah pertama kita untuk menyediakan peluang di peringkat ASEAN dan seterusnya mengikuti kejohanan-kejohanan antarabangsa."