Gara-gara membuat kenyataan kontroversi dalam kandungan terbaru biografinya, pemain Inter Milan, Mauro Icardi, berdepan tindakan dilucutkan tugas selaku kapten kelab Itali itu.

Pengarah Inter, Piero Ausilio, berkata kelab Serie A itu sedang mempertimbangkan untuk menarik balik tugas kapten yang diserahkan kepada Icardi awal musim ini.

Masa depan Icardi bersama kelab itu mula tergugat apabila dia mencetuskan kemarahan penyokong ultras kelab itu dengan menyatakan dalam biografrinya bahawa dia diangkat sebagai 'wira' ketika bersemuka dengan ketua ultras kelab itu.

Insiden tersebut berkait dengan kekalahan 3-1 kepada Sassuolo musim lalu apabila jersi yang dilontarkan Icardi kepada barisan penyokong telah dibaling semula ke arahnya sehingga menyebabkan konfrontasi di antara pemain itu dan ketua ultras tersebut.

Wakil dari 'Curva Nord' kemudiannya menegaskan bahawa karier pemain antarabangsa Argentina itu sudah 'berakhir' di samping mempamerkan kain rentang mengkritik pemain itu yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas 2-1 berdepan Cagliari pada Ahad.

Timbalan Presiden Inter, Javier Zanetti, turut memberi bayangan jawatan kapten digalas Icardi akan dilucutkan susulan enggan situasi itu bertambah meruncing.

"Seluruh kelab setuju dengan cadangan Zanetti," jelas Ausilio.

"Icardi tidak mempamerkan aksi yang baik hari ini, ia perkara biasa apatah lagi dia baru sahaja berusia 23 tahun tetapi sudah berdepan senario seperti ini.

"Kami perlu melindungi pasukan ini dan membuat keputusan demi masa depan Inter."

Icardi turut meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi Curva Nord di laman sosial.