Tugas kami belum selesai -- Brendan 

Oleh Bernama 15 November 2019 1006
Tugas kami belum selesai -- Brendan 
Pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan, menyifatkan semangat berpasukan dan berjuang yang jitu sebagai penyumbang utama kemenangan Harimau Malaya 2-1 ke atas Thailand dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia kembali ke landasan untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas melalui perjalanan sukar dalam kempen Kumpulan G berikutan kekalahan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, bulan lalu.

"Ia merupakan persembahan hebat daripada pasukan. Kami memberikan (usaha) 110 peratus, memperlihatkan semangat juang dan penonton juga sangat mengagumkan. Suasana sangat menyenangkan dan kemenangan ini adalah satu perkara yang sungguh mengujakan.

"Perkara yang hebat tentang pasukan ini adalah siapa sahaja yang ‘masuk’, mereka lakukan dengan baik.

"Tidak kira siapa yang memulakan permainan dan yang masuk daripada bangku simpanan, kami mempunyai satu matlamat dalam minda, iaitu untuk menang, untuk layak ke Piala Asia 2023, " katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pemain kelahiran Australia berusia 31 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang dan menjaringkan  gol penyamaan pada minit ke-26 untuk menafikan jaringan pertama menerusi Chanathip Songkrasin ​​​​​​selepas hanya tujuh minit separuh masa pertama.

Brendan kemudian melakukan satu sungkitan cantik yang disambut dengan sepakan voli pemain sayap Pahang, Muhamadou Sumareh, yang menerjah gawang Thailand pada minit ke-56 untuk Malaysia mendahului dan memastikan kemenangan sehingga wisel penamat.

Bagaimanapun, Brendan berkata apa yang paling utama ialah kejayaan pasukan.

"Bagi saya, tidak kira siapa yang menjaringkan gol dan siapa yang membuat bantuan jaringan asalkan di penghujungnya kami mendapat kemenangan," katanya.

Menjelang pertembungan dengan Indonesia di Stadium Nasional, Selasa ini, Brendan menyeru semua pemain agar kekal fokus bagi meraih satu lagi kemenangan, seterusnya mencerahkan peluang mereka untuk beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Ia sangat mengujakan untuk mendapatkan kemenangan ini tetapi tugas kami masih belum selesai. Kami masih mempunyai Indonesia (untuk ditangani) dan minda kami perlu memberi tumpuan terhadap perkara itu," katanya.

Malaysia kini menduduki tangga keempat, berkongsi enam mata dengan UAE manakala Thailand di kedudukan kedua dengan tujuh mata.

Vietnam menewaskan UAE 1-0 di Stadium Nasional My Dinh malam tadi untuk berada di kedudukan teratas kumpulan dengan 10 mata.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen