MONACO 0 PSG 4

Thomas Tuchel mahu Paris Saint-Germain (PSG) mempertingkatkan lagi intensiti permainan selepas mengatasi Monaco 4-0 dalam saingan Ligue 1, semalam.


Skuad kendalian Thierry Henry itu dihimpit masalah kecederaan ketika menghadapi aksi di Stade Louis II apabila Edinson Cavani melakar jaringan hatrik untuk membantu PSG meraih kemenangan ke-13 berturut-turut dalam saingan liga.

Anak buah Tuchel telah pun mencatatkan rekod kemenangan paling lama sejak permulaan di Eropah.

Dengan kelebihan 13 mata ke atas pencabar terdekat saingan Ligue 1, Lille, PSG masih lagi ketinggalan dalam saingan Eropah.

Mengumpul lima mata meletakkan PSG di tangga ketiga dalam Kumpulan C, Liga Juara-Juara (UCL) dan kemaraan ke pusingan seterusnya kini menjadi tanda tanya buat Les Parisiens.

Tuchel mengharapkan peningkatan lagi daripada PSG walaupun berjaya mengatasi Monaco.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana merakamkan kemenangan ke-13 berturut-turut. Ia amat menakjubkan," kata Tuchel.

"Tetapi saya masih lagi kecewa dengan intensiti yang ditampilkan serta kualiti permainan dalam separuh masa pertama.

"Selepas menjaringkan dua gol, persembahan PSG menurun dan kami mula mengurangkan tekanan ke atas lawan.

"Monaco hampir menjaringkan satu atau dua gol tetapi PSG kembali mengatur langkah untuk menambah dua lagi jaringan sebelum tamat perlawanan," ujarnya.

Cavani terlepas dua aksi liga bersama PSG kerana mengalami kecederaan paha tetapi pemain kebangsaan Uruguay itu kembali dalam pasukan dengan penuh bergaya selepas mencetak gol kelapan Ligue 1 musim ini.