Thomas Tuchel berasakan 'bahaya' untuk berbesar hati selepas dikaitkan dengan Real Madrid, malah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Borussia Dortmund.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke, mendedahkan Real sedang 'memantau' Tuchel, namun beliau menegaskan tugasnya masih belum selesai di Signal Iduna Park sehingga tamat kontrak pada tahun 2018.

Tuchel, yang menggantikan Jurgen Klopp pada 2015, telah membawa pasukan mara ke final DFB-Pokal musim lalu.

BVB kini berada di tangga keenam Bundesliga selepas seri 3-3 dengan FC Ingolstadt pada Sabtu manakala mereka berkongsi mata dengan Real Madrid dalam Kumpulan F saingan Liga Juara-Juara.

Tuchel berkata tumpuannya tidak terjejas dengan khabar angin mengenai perpindahannya ke Real Madrid.

"Ia merupakan satu perkara yang bahaya jika kami berbesar hati sebagai seorang jurulatih. Anda akan kehilangan tumpuan mengenai perkara-perkara yang penting," kata Tuchel.

"Saya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada pasukan saya setiap hari dan tidak memikirkan perkara lain."

Dortmund bakal bersaing dalam DFB-Pokal berdepan Union Berlin, awal pagi esok.