Persembahan Neymar sejak Paris Saint-Germain (PSG) kembali beraksi tidak mengejutkan pengurus, Thomas Tuchel.

Selepas kembali ke Brazil di tengah-tengah wabak COVID-19 melanda, Neymar kembali menampilkan persembahan hebat menjelang akhir kempen PSG musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu meledak empat gol dalam tiga kemenangan perlawanan; iaitu persahabatan ke atas Le Havre, Waasland-Beveren disusuli Celtic, apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan bergaya 9-0, 7-0 dan 4-0.

Kelab ibu kota Perancis itu, yang dianugerahkan gelaran Ligue 1 selepas pembatalan baki perlawanan kancah berkenaan April lalu, berharap dapat meraih gelaran Coupe de France ketika menentang Saint-Etienne dalam perlawanan akhir, awal pagi esok.

Ditanya mengenai prestasi bekas bintang Barcelona itu dalam sidang media sempena perlawanan berkenaan, Tuchel berkata: "Saya tidak terkejut. Dia kembali dalam dengan fikiran dan keadaan yang baik.

"Dia dapat menyesuaikan diri dengan sangat cepat dalam mengikuti kesemua bentuk sesi latihan, dia menemui sentuhannya dengan sangat cepat. Adalah penting baginya untuk beraksi sebanyak mungkin. Dia telah diberi waktu permainan yang sebanyak mungkin.

"Dia akan berada di atas padang esok. Dia dalam keadaan baik, sangat berbahaya dan itulah yang terbaik buat kami."



PSG kemudian akan berentap dengan Lyon dalam penentuan gelaran Coupe de la Ligue pada 31 Julai ini sebelum menuju ke Lisbon untuk meneruskan perjuangan dalam UCL, di mana mereka membawa bekalan seri ketika menentang Atalanta dalam pertemuan suku akhir pertama.

"Cara terbaik untuk tiba di Portugal adalah menerusi empat gelaran dan ia akan bermula esok," katanya.

"Fokus kami pada minggu-minggu terakhir ini adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Saint-Etienne, iaitu daripada segi mental dan fizikal. Kami tidak bercakap tentang Atalanta dengan pasukan atau kakitangan, ia bukan subjek utama ketika ini.

"Perkara paling penting dalam kelab seperti PSG ini adalah beraksi dalam final, memenangi final dan memenangi gelaran. Pada akhirnya, ia masih merupakan kaedah terbaik untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran besar UCL."