PARIS SAINT-GERMAIN 5 OLYMPIQUE LYON 0

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, tidak terkejut dengan aksi istimewa yang dipamerkan pasukannya ketika menewaskan Olympique Lyon 5-0 dalam saingan Ligue 1.


Dalam aksi mendebarkan di Parc des Princes awal pagi tadi, Kylian Mbappe menjaringkan empat gol dalam tempoh 13 minit untuk memastikan rekod sembilan kemenangan berturut-turut buat PSG yang merupakan sejarah baru dalam Ligue 1.

Aksi hebat Mbappe itu berlaku selepas Neymar menjaringkan gol pembukaan dalam babak pertama sebelum kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Tuchel, yang hanya tewas sekali dalam semua kejohanan sejak mengambil alih PSG, lantas memuji aksi pemainnya.

"Sangat menakjubkan. Keadaan sangat sukar dalam separuh masa pertama," kata Tuchel kepada Canal+.

"Ia sangat gila dan perlawanan yang sukar buat kami kerana Lyon bermain dengan kualiti dan keyakinan yang tinggi. Namun, kami mempunyai mental yang kuat. Ia sangat mengagumkan.

"Saya tidak terkejut dengan apa yang dilakukan pemain saya. Saya tahu mereka mampu melakukan perkara ajaib seperti ini. Ia bagaikan sebuah kurniaan. Sangat menakjubkan.

"Kami kekal bersama dalam memberikan segala-galanya. Setiap orang saling membantu. Kami bertahan dengan baik. Keadaan tidak begitu baik dalam babak pertama, namun kami peroleh keyakinan selepas itu.

"Pemain sangat gembira, mereka layak untuk berasa gembira. Persembahan seperti ini adalah berkaitan menyerang dan menjaringkan gol.

"Segalanya disebabkan sikap pemain. Di Paris, kamu harus bermain dengan menyerang," tambahnya.

PSG membuka tirai jaringan selepas Neymar menyempurnakan sepakan penalti pada minit kesembilan.

Aksi menarik Mbappe dipamer sebaik dia menjaringkan empat gol dalam tempoh 13 minit, bermula dari minit ke-61 sehingga 74.