Thomas Tuchel tidak takut kehilangan Neymar demi kebaikan pemain itu sendiri selain tidak gentar untuk mengecewakannya apabila tidak menurunkan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dalam kesebelasan utama ketika menentang Real Madrid.

Neymar, yang diketengahkan ketika menentang Lille, Sabtu lalu, dimasukkan dalam separuh masa kedua ketika seri 2-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid awal pagi tadi.

PSG ketinggalan menerusi gol pembukaan Karim Benzema ketika pemain Brazil itu dimasukkan dan semakin ketinggalan apabila penyerang Madrid berkenaan menyempurnakan hantaran silang Marcelo sebelum Kylian Mbappe dan Pablo Sarabia meledak gol dalam tempoh singkat untuk memaksa keputusan seri 2-2.

Tuchel mengakui menjelang pertembungan dengan Madrid itu, Neymar kadang-kadang sukar untuk ditangani tetapi menegaskan peranan singkatnya di Santiago Bernabeu adalah berpunca daripada masalah hamstring yang dideritainya baru-baru ini.

"Tidak, saya tidak takut, saya tidak fikir bahawa kami akan kehilangan Neymar," kata pengurus PSG tersebut.

"Kami saling berhubung, kami bersikap jujur. Saya telah bercakap dengannya dan memberitahunya bahawa saya lebih senang menurunkannya dalam babak kedua dan dia bermula di bangku simpanan. Kami melakukan perkara yang sama dengan Kylian ketika berkunjung ke Galatasaray.

"Dia tersisih selama enam minggu, dia hanya bermain satu perlawanan sebelum ini dan bagi saya, kami tidak sepatutnya mengambil risiko itu.

"Setiap bulan, dia akan terlepas beberapa hari, Saya membuat keputusan baginya, demi kesihatannya."

Sekalipun berada di belakang selama 80 minit dalam pertembungan di ibu kota Sepanyol itu, usaha jaguh Ligue 1 berkenaan sudah cukup untuk mengesahkan kedudukan teratas dalam Kumpulan A.

Pelawat harus berterima kasih kepada penjaga gol, Keylor Navas, atas beberapa aksi menyelamat yang cemerlang apabila menyekat beberapa usaha bekas majikannya itu untuk mendahului permainan.

Tuchel berkata: "Real adalah pasukan yang lebih baik dalam tempoh yang lama. Kami bermain dengan terlalu rumit, tidak cukup pantas, mudah dan tiada keyakinan. Real pula bermain dengan keyakinan tinggi.

"Mereka menunjukkan bahawa mereka adalah sebuah pasukan yang memenangi rentetan tiga UCL.

"Kami mempunyai penjaga gol yang luar biasa menerusi Keylor Navas. Kami bernasib baik, ia bukan rahsia lagi. Selepas dibolosi, kami bermain dengan lebih bebas.

"Terdapat beberapa perkara positif yang harus diingati. Iaitu aspek mentaliti, kualiti pemain yang dimasukkan yang terdiri daripada Ney, Pablo dan (Julian) Draxler yang telah membuat perbezaan. Kami memungut 13 mata daripada lima perlawanan."