Thomas Tuchel tidak berminat untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dan menggantikan Niko Kovac selaku pengurus Bayern Munich.

Kovac dipecat susulan kekalahan 5-1 di tangan Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu, sekali gus meraih kekalahan terburuk sejak April 2009.

Hansi Flick mengambil-alih selaku pengurus sementara sambil Jose Mourinho, Massimiliano Allegri, Erik ten Hag dan Ralf Rangnick dikaitkan dengan jawatan pengurus tetap.

Sky Deutschland melaporkan Bayern telah menghubungi Tuchel mengenai jawatan itu sebelum L'Equipe mendedahkan jurulatih itu telah menolak tawaran tersebut semalam.

Ditanya mengenai spekulasi itu ketika sidang media Liga Juara-Juara Eropah menjelang pertemuan PSG dan Club Brugge, Tuchel berkata: "Ia tidak menarik minat saya kerana saya adalah pengurus PSG sekarang.

"Saya mempunyai kontrak untuk musim ini dan kali terakhir saya menelitinya, saya juga terikat untuk musim depan. Saya tidak boleh fikirkan kelab lain walaupun untuk seminit."

Menjelang aksi berdepan Club Brugge, PSG meraih kemenangan 5-0 dalam pertemuan sebelum ini dua minggu lalu dan akan mara ke pusingan 16 jika mereka sekali lagi menundukkan kelab Belgium itu awal pagi esok.

Ditanya sama ada aksi di Parc des Princes itu akan menjadi ibarat final disebabkan ia melibatkan proses untuk mara ke pusingan seterusnya, Tuchel menjawab: "Saya tidak fikir begitu. Ia hanya kesan kepada persembahan kami.

"Kami berdepan masalah ketika menentang Brugge kerana mereka menampilkan tekanan tinggi. Mereka agresif dan beraksi dengan tinggi. Kami perlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Akhirnya, ia satu kemenangan yang berhak diraih dengan lima gol walaupun ia rumit dalam tempoh yang lama.

"Kami bersedia daripada segi taktikal dalam setiap situasi. Jika kami mampu melakukannya untuk menunjukkan mentaliti dalam pasukan, kami boleh menang dan kesannya, kami mara.

"Namun, kami hanya boleh mengawal persembahan kami. Brugge tidak terlalu tersusun sepanjang masa, kadangkala permainan mereka agak di luar jangkaan dan anda perlu beraksi dengan tepat dan tenang," tambahnya.

PSG menuju aksi awal pagi esok selepas tewas mengejut di tangan Dijon dalam saingan Ligue 1, Jumaat lalu, dan Tuchel memilih untuk berehat sementara sebelum bercakap mengenai keputusan itu.

"Perlu untuk mengambil cuti dua hari, kemudian bercakap dengan pemain mengenai taktikal, mentaliti dan bagaimana kami bermula," tambahnya.

"Kami bencikan kekalahan dan tidak mahukannya. Kami adalah pesaing tetapi dalam masa sama, kami adalah pasukan yang boleh tewas di tangan Dijon.

"Perlu untuk bercakap tentangnya berulang kali dan mengkritiknya. Ia adalah tanggungjawab saya dan semua pemain."