LEIPZIG 2 PSG 1

Thomas Tuchel tidak menganggap jawatannya sebagai pengurus Paris Saint-Germain (PSG) terancam selepas rebah 1-2 kepada RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara (UCL).


PSG mendahului pada awal permainan dalam pertembungan di Arena Red Bull, awal pagi tadi, menerusi jaringan jarak dekat Angel Di Maria tetapi pelawat mula hilang rentak selepas pemain antarabangsa Argentina itu gagal menyudahkan sepakan penalti dalam separuh masa pertama.

Bekas pemain tengah PSG, Christopher Nkunku, menyamakan kedudukan sebelum menuju ke bilik persalinan smeentara dan sepakan penalti Emil Forsberg melengkapkan kemenangan Leipzig.

Keadaan barisan bimbingan Tuchel bertambah parah selepas Idrissa Gueye dibuang padang (minit ke-66) disusuli Presnel Kimpembe (masa kecederaan).

Dengan kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan H, PSG ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Manchester United dan Leipzig, secara tidak langsung meninggalkan finalis musim lalu itu berdepan cabaran penting untuk mara ke peringkat kalah mati 2020-21.



Begitupun, Tuchel menolak perbincangan mengenai kedudukannya dan ada yang menganggap ketegangan di antaranya dan Pengarah Sukan PSG, Leonardo, telah mempengaruhi persembahan anak buahnya.

Dia memberitahu RMC: "Ia sukar, mungkin juga salah sendiri kerana kami gagal mendapatkan gol kedua dan kami juga melakukan kesalahan di dalam kotak penalti.

"Sukar untuk beraksi dengan 10 pemain, terlalu banyak situasi yang tidak memihak kami, terlalu banyak kerana seteru kami adalah mantap.

"Tidak, saya tidak berasa dalam bahaya. Situasi di antara Leo dan saya? Ia sama sekali tidak mempengaruhi prestasi kami di lapangan.