Tuchel tidak bimbang prestasi buruk Neymar menentang Lille

Oleh Staff Writer 23 November 2019 142
Tuchel tidak bimbang prestasi buruk Neymar menentang Lille
Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, mempertahankan Neymar walaupun penggempur itu menampilkan aksi buruk ketika kembali memperkuatkan pasukan dalam perlawanan menentang Lille awal pagi tadi.

Bintang Brazil itu diketepikan selama sebulan akibat kecederaan sewaktu menyarung jersi skuad kebangsaan tetapi membarisi kesebelasan utama ketika PSG melayan kunjungan Lille.

Neymar membantu menghasilkan gol kedua PSG dalam perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 2-0 itu, sekali gus membolehkan juara bertahan itu mengungguli carta liga dengan kelebihan 11 mata.

Namun, selepas 65 minit beraksi, dia gagal mencipta sebarang percubaan atau hantaran bahaya sambil hanya mencatat kadar ketepatan 63.9 peratus.

Bagaimanapun, Tuchel tidak mengharapkan persembahan hebat daripada pemain itu.

"Tidak, saya tidak risau dengan persembahan buruknya," katanya.

"Saya tidak tahu jika ia normal. Saya tidak terlalu berharap kepadanya kerana dia tidak beraksi selama enam minggu. Terlalu banyak untuk seseorang sepertinya yang memerlukan kepantasan dalam segala perkara dilakukan.

"Dia hilang ketepatan pada hari ini tetapi ia memang begitu. Neymar memerlukan beberapa perlawanan."

Neymar digantikan oleh Kylian Mbappe dan terus menuju ke terowong pemain berbanding menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan.

"Ia normal. Ramai pemain terus masuk ke bilik persalinan," ujar Tuchel.

"Saya tidak melihatnya kerana fokus dengan perlawanan dan perubahan taktikal.

"Kami perlu bincang mengenai perkara ini secara dalaman dan bukan sekarang."

Jaringan daripada Mauro Icardi dan Angel Di Maria dalam babak pertama menyaksikan PSG meneruskan rentak kemenangan di Parc des Princes.

"Mereka cergas dan kuat apabila beraksi bersama," kata Tuchel mengenai gandingan Argentina itu.

"Kedua-duanya bersama kami sewaktu tempoh rehat antarabangsa.

"Ia bagus kerana membolehkan anda menguruskan mereka. Kedua-duanya begitu cemerlang dan menghasilkan gol. Mereka bekerja buat pasukan dan ia memberi perbezaan besar buat kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen