DORTMUND 8 LEGIA WARSAW 4

Thomas Tuchel bagaikan tidak percaya dengan pencapaian Borussia Dortmund pada awal pagi tadi apabila anak buahnya merekodkan kemenangan terbesar mereka dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan membelasah Legia Warsaw 8-4.


Marco Reus -- yang membuat penampilan pertamanya musim ini berikutan tersisih akibat kecederaan -- memainkan watak penting dalam mencipta rekod itu apabila dia melengkapkan jaringan hatriknya pada masa kecederaan.

Shinji Kagawa mencetak dua gol dan satu gol masing-masing dihasilkan oleh Nuri Sahin, Ousmane Dembele serta Felix Passlack buat Dortmund.

Dortmund kini menerajui Kumpulan F dengan kelebihan dua mata ke atas Real Madrid, dan Tuchel berjaya untuk mengatasi beberapa kepincangan di bahagian pertahanan Dortmund.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku, sukar untuk saya menganalisis perlawanan ini," ujar Tuchel dalam laman rasmi kelab itu.

"Ia sukar dipercayai. Saya tidak pernah menyaksikan perkara seperti ini. Kami memberikan banyak ruang di bahagian pertahanan dan berdepan masalah untuk mengatasinya.

"Kami membuat banyak kesilapan. Tapi pada akhirnya, kami mencapai kemenangan. Saya kasihan dengan Roman Weidenfeller. Saya akan memberi penekanan terhadap kesilapan-kesilapan yang kami lakukan."

Perkara positif utama bagi Tuchel dalam perlawanan ini adalah persembahan Reus yang kembali beraksi sejak bergelut dengan kecederaan pangkal paha pada hujung musim lalu.

"Marco beraksi dengan cukup baik hari ini. Permainan ini tidak begitu tegang untuk saya mengeluarkannya," tambah Tuchel.

"Kami menanti begitu lama. Adalah menakjubkan untuk mendapatkannya kembali."

Dortmund bakal berdepan Madrid di Santiago Bernabeu pada awal Disember nanti bagi menentukan kedudukan teratas Kumpulan F.

Saksikan acara kemuncak Dortmund lawan Legia Warsaw: