PARIS SAINT-GERMAIN 1 NANTES 0

Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, percaya separuh daripada musim pertamanya bersama pasukan itu sudah hampir sempurna sebaik mereka mendahului carta Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata menjelang waktu rehat pertengahan musim.


PSG menewaskan Nantes 1-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Kemenangan itu memastikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dan hanya melepaskan empat mata secara keseluruhan.

PSG bukan sahaja berkelebihan 13 mata ke atas Lille, namun mereka mempunyai kelebihan dua perlawanan berbanding pencabar terdekat itu.

Bagi Tuchel, kejayaan itu sudah dijangkakannya sejak awal lagi.

"Keputusan hari ini sudah hampir sempurna dan saya amat gembira.

"Kami dapat melihat perkembangan pasukan dengan kekuatan yang dimiliki.

"Setiap pemain terbuka untuk menerima pembaharuan dan ia amat baik," katanya.

Perlawanan menentang Nantes merupakan yang pertama buat PSG sejak 5 Disember lalu.

Mereka mempunyai dua perlawanan yang ditangguhkan ekoran demonstrasi 'gilet jaunes' di Paris.

Walaupun kelihatan letih sewaktu menewaskan Nantes, Tuchel menegaskan pasukannya telah memaparkan aksi menakjubkan.

"Saya berasakan itu itu tidak benar.

"Kami menguasai 70 peratus perlawanan dengan 40 sentuhan di kawasan lawan selain 23 percubaan.

"Ia sememangnya menakjubkan.

"Kami bermain dengan kualiti tinggi.

"Kami amat agresif sewaktu menyerang, namun kekurangan sentuhan penyudah.

"Bagi saya, kami sepatutnya menang dengan empat gol kerana kami menguasai permainan dan lebih layak menang.

"Kami mungkin kepenatan, namun ia normal.

"Pasukan kami beraksi dengan baik.

"Saya perlu memuji pemain-pemain saya," katanya.