Dalam usaha mengukuhkan pemulihannya daripada kecederaan paha, Neymar berlatih seorang diri semalam dan pengendali pasukan, Thomas Tuchel, mengesahkan penggempur itu cergas untuk menentang AS Monaco.

Awal pagi esok, pendahulu Ligue 1, PSG, akan menentang Monaco di Stade Luis II dan Tuchel berkata pihak kelab telah menguruskan proses pemulihan kecergasan Neymar untuk membolehkannya kembali beraksi.

Selasa lalu, bintang Brazil itu masuk dalam babak kedua sewaktu mengikat Real Madrid 2-2 dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi Tuchel tetap memberikannya pengecualian dalam lathan.

"Ia disebabkan kami tidak mahu mengambil sebarang risiko," katanya.

"Jadi, dia diberikan latihan secara individu. Melalui cara itu, kami boleh kawalnya dengan lebih baik. Semalam, dia berlatih tanpa sebarang masalah.

"Dia bersama pasukan dan akan bermain."

Gol penyamaan PSG ketika menentang Real hadir menerusi Pablo Sarabia selepas lapan minit dibawa masuk dalam babak kedua.

Tuchel teruja melihat pemain bernilai EUR18 juta (RM82 juta) yang dibawa masuk daripada Sevilla itu sambil menjelaskan cabaran yang dihadapi Sarabia untuk menyesuaikan diri dengan posisi baru yang lebih ke bawah.

"Sukar untuk Sarabia meraih posisi sama seperti di Sevilla," tambah Tuchel.

"Di sana, dia memainkan peranan hampir sama seperti Angel di Maria atau Neymar dan Kylian Mbappe.

"Dia merupakan kunci di atas padang. Kami membawanya ke sini kerana dia mampu menggalas tanggungjawab, beraksi 50 hingga 60 perlawanan semusim. Namun, kini dia mempunyai peranan baru.

"Dia perlu sesuaikan diri dengan permainan kami serta semua pemain. Bagaimanapun, dia telah beraksi dalam banyak perlawanan dan sangat penting buat kami kerana dia memberikan keseimbangan, tidak kira sewaktu memegang bola atau tidak. Dia agresif dan kami kekurangan elemen itu dalam permainan.

"Dia juga bertahan dengan baik. Dia boleh diharap dan bertanggungjawab. Sarabia juga memiliki pengaruh yang bagus dalam pasukan.

"Saya gembira melihatnya menjaringkan gol ketika berdepan Real kerana dia sentiasa memberikan segalanya dalam latihan."