Thomas Tuchel mengakui Paris Saint-Germain (PSG) tidak beraksi seperti yang diharapkan serta kekurangan keyakinan selain percaya ia juga didorong oleh faktor ketiadaan Marco Verratti.

PSG kini lima mata mendahului pencabar terdekat, Marseille, di puncak Ligue 1 dengan kelebihan satu perlawanan selain mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sebagai pemenang Kumpulan A di hadapan Real Madrid.

Begitupun, Tuchel tidak pernah teruja dengan persembahan anak buahnya kebelakangan ini meskipun meraih kemenangan 2-0 ke atas Lille dan Nantes di celah-celah keputusan seri di Madrid itu.

Pemain tengah utama, Verratti, bermain sepanjang 90 minit ketika berdepan Madrid pada 26 November lalu sejurus pulih daripada kecederaan lutut, namun dia terlepas kemenangan ke atas Nantes, Rabu lalu, berikutan masalah paha dan tidak akan tampil di Montpellier tengah malam ini.

Ander Herrera dan Idrissa Gueye juga dalam keraguan, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Tuchel mengenai pilihan di bahagian tengah.

Pengurus itu berkata mengenai ketiadaan Verratti: "Sudah tentu ia mengubah keadaan. Dia menawarkan kualiti dan karakter kepada pasukan, dia sentiasa memberikan 100 peratus, dia membawa pengaruh besar dan dia sentiasa seorang pemain yang positif.

"Adalah jelas kami merinduinya tetapi kami perlu berhati-hati untuk menangani keadaannya. Dia telah beraksi dalam tempoh 90 minit yang sangat sukar ketika menentang Madrid tetapi kami mengharapkannya dalam pertemuan dengan Galatasaray kelak."

Tuchel lebih suka untuk tidak memperincikan sebab-sebab PSG bergelut, namun sesi latihan membuktikan kualiti yang mereka miliki.

"Ia seperti ini: kami tidak memperagakan permainan terbaik," katanya.

"Kami mahu bercakap tentang (kualiti) persembahan, bukan hanya keputusan. Terserah kepada kami untuk menganalisis dan kami harus akui bahawa kami kini dalam fasa betapa semuanya bukan mudah.

"Ada puncanya tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya terlalu banyak. Ia adalah sesuatu yang telah berlaku selama beberapa minggu. Kami mempunyai idea dan saya secara jujur telah berkata (selepas bertemu Nantes) bahawa kami tidak berpuas hati dengan mutu persembahan sendiri.

"Tetapi saya tetap positif dan adalah bagus kami dapat turun beraksi esok."

Beliau menambah: "Saya yakin ia bukan sekadar bersandarkan satu alasan. Mengapa saya bersikap positif adalah kerana saya melihat pasukan saya berlatih setiap hari.

"Ia agak pelik kerana kami menunjukkan kualiti dan intensiti ketika sesi latihan. Kami mempunyai 20 hingga 23 pemain yang berlatih bersama-sama dalam tempoh dua atau tiga minggu ini.

"Kami mempamerkan intensiti dalam latihan tetapi tidak menampilkannya dalam perlawanan. Ia agak menghairankan.

"Pasukan ini dalam minda yang baik pada setiap hari. Begitu juga semalam, mereka sangat luar biasa. Mereka yang jarang diturunkan menonjol. Mereka kecewa kerana jarang beraksi tetapi mereka memberikan segala-galanya, mereka bersatu hati.

"Kami perlu menunjukkannya ketika perlawanan tetapi kami tidak boleh memaksanya. Kami mungkin tidak mempunyai sedikit keyakinan tetapi kualiti kami tidak kekurangan."