Pengendali Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, mempertahankan pemain pertahanan Marc Bartra susulan mengalami penurunan prestasi ketika ini.

Bartra berhijrah ke Signal Iduna Park dari Barcelona awal musim lalu dan namanya terus disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, sejak itu, dia gagal mempamerkan aksi konsisten, sekaligus aksinya dikritik saban minggu.

Bagaimanapun, Tuchel yakin masalah prestasi yang dihadapi Bartra adalah asam garam yang dialami pemain bola sepak yang masih dalam senario menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

"Dia masih dalam proses penyesuaian terhadap latihan berintensiti tinggi dalam Bundesliga," Tuchel memberitahu laman sesawang rasmi kelab itu.

"Proses itu mengambil masa. Dia juga sedang bergelut dalam aspek komunikasi tetapi ini adalah perkara biasa. Dia menerima segalanya secara terbuka dan bingkas membetulkan kesilapannya.

"Kita juga perlu memahami bahawa dia tidak biasa beraksi setiap tiga hari di samping memikul tugas besar di jentera pertahanan.

"Kadang kala tindakannya agak melebih-lebih di atas padang tetapi niatnya adalah baik. Untuk itu, kami akan sentiasa memberi sokongan kepadanya."