Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menjangkakan Kylian Mbappe tidak memerlukan rehat untuk jangka masa panjang.

Mbappe tersisih daripada kunjungan PSG ke gelanggang keramat RB Leipzig, Red Bull Arena, untuk pertemuan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, selepas mengadu tidak selesa di bahagian otot yang mula dialaminya dalam kemenangan 3-0 ke atas Nantes bagi kempen Ligue 1, hujung minggu lalu.

Kecergasan juara Piala Dunia itu akan dinilai semula menjelang pertemuan dengan Rennes, Ahad ini sebelum pemain dilepaskan untuk jadual perlawanan antarabangsa.

Sejak kemunculan sulungnnya dalam UCL pada Februari 2017, Mbappe telah terlibat dalam 22 jaringan (14 gol dan lapan bantuan jaringan) -- jumlah yang lebih banyak daripada pemain lain.

Ketika ditanya apakah ada kemungkinan dia tidak memiliki pemain berpengaruh itu dalam tempoh yang panjang, Tuchel menjawab: "Ia tidak akan lebih lama. Kecederaannya sangat ringan.

"Sayangnya, dia berada dalam zon risiko. Doktor sudah menjelaskan hal ini kepada saya. Dia tidak dapat bersama pasukan. Malang buat kami. Kami tidak boleh mengambil risiko ini, ia pasti terlalu tinggi jadi kami perlu cari jalan penyelesaian tanpa Kylian. "

Neymar, Mauro Icardi, Marco Verratti dan Julian Draxler turut terpinggir untuk perlawanan di Jerman itu, sementara Tuchel mendedahkan Leandro Paredes belum cukup cergas untuk memulakan permainan.




Dengan Angel Di Maria hanya beraksi dua kali bulan lalu ekoran penggantungan empat perlawanan Ligue 1, pengurus PSG itu mengelak untuk meletakkan tekanan tinggi ke atas pemain sayap Argentina tersebut bagi memainkan peranan utama.

"Dia masih tonggak utama tetapi dia juga belum menemui rentak sebenar. Kami tidak boleh meletakkan harapan tinggi kepadanya, dia baru menjalani penggantungan selama empat perlawanan jadi dia memerlukan rentak permainan," katanya lagi.

Finalis 2020 itu mengatasi Leipzig 3-0 dalam separuh akhir saingan Eropah tersebut musim lalu apabila Di Maria menyumbangkan satu gol selain mencipta peluang jaringan buat Marquinhos dan Juan Bernat,

Tuchel mengakui perlawanan timbal balik dengan pasukan Bundesliga itu adalah getir demi mencapai peringkat kalah mati memandangkan mereka kini di kedudukan kedua di belakang Manchester United dengan koleksi tiga mata selepas dua perlawanan.

"Kami sudah menjangkakannya.

"Ia seakan-akan pertembungan pusingan 16. Kami akan bertandang ke Leipzig terlebih kemudian kami akan menjadi tuan rumah kepada Leipzig. Ia boleh penentu seandainya kami memenangi pertemuan ini. Kami tahu situasinya dengan jelas."