PSG 2 NAPOLI 2

Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, mahu skuad bimbingannya mempamerkan aksi lebih berkualiti dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas memerlukan magis Angel Di Maria di penghujung permainan untuk seri 2-2 dengan Napoli.


PSG jatuh ke tangga ketiga Kumpulan C selepas mengutip hanya empat mata daripada tiga perlawanan dan bernasib baik untuk berkongsi mata di laman sendiri dengan Napoli.

Kelab Itali itu mendahului permainan menerusi jaringan Lorenzo Insigne sebelum Mario Rui menjaringkan gol sendiri bagi menjadikan kedudukan kembali 1-1 sebelum percubaan Dries Mertens pada minit ke-77 dilihat sebagai gol kemenangan buat anak buah Carlo Ancelotti.

Bagaimanapun, Di Maria hadir tepat pada masanya dengan rembatan kaki kirinya gagal dinafikan David Ospina pada minit ke-93 untuk menyelamatkan maruah PSG bagi menamatkan perlawanan dengan satu mata.

Pengendali kelahiran Jerman itu berpuas hati dengan persembahan PSG tetapi kecewa kerana gagal menggunakan peluang yang terhidang.

"Mengapa kami tidak mampu bermain pada tahap yang sama dalam tempoh 90 minit? Ia adalah soalan yang bagus," kata Tuchel.

"Kami bermula dengna baik tetapi gagal mengekalkan persembahan hingga tamat perlawanan. Kami bermain secara individu terlalu banyak dalam tempoh 30 minit.

"PSG telah beraksi dengan cemerlang dalam babak kedua perlawanan, kami mengubah taktikal, memberikan tekanan ke atas lawan. Tetapi kami mahu mempertingkatkan lagi permainan."

Napoli akan menerima kunjungan PSG dalam aksi UCL seterusnya dan Ancelotti yakin dengan kemampuan pasukannya untuk layak ke pusingan 16.

"Kami beraksi cemerlang berdepan dua pencabar utama kumpulan ini," kata Ancelotti.

"Perkara paling penting adalah kemampuan kami untuk mengatasi mereka.

"Aksi seterusnya sangat penting bagi memastikan kami mara ke pusingan seterusnya."