MONTPELLIER 1 PSG 3

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, percaya dua bintang utamanya, Neymar dan Kylian Mbappe, mula kembali menyinar ketika bersama-sama di atas padang.


PSG melakar kemenangan 3-1 ke atas Montpellier awal pagi tadi yang menyaksikan pemain yang masing-masing mewakili Brazil dan Perancis itu menemui sentuhan penyudah apabila mempamerkan gandingan berkesan bersama juara Ligue 1 itu.

Kedua-dua pemain berkenaan dilanda masalah kecederaan musim ini sehingga mengehadkan tempoh mereka untuk bermain bersama-sama, namun Tuchel melihat pasangan itu akan kembali bangkit.

"Ia bukan mudah buat mereka berdua," kata Tuchel kepada Canal +. "Kedua-duanya terlepas perlawanan dan kini mula dapat beraksi bersama-sama musim ini.

"Ia situasi sukar buat Kylian kerana sudah tersisih lama sementara Neymar, yang mempunyai pengalaman yang lebih luas, bertindak balas dengan baik dalam suasana yang sukar seperti ini. Akhirnya mereka membantu kami memenangi perlawanan."

Neymar menggegar gawang menerusi tendangan percuma yang menakjubkan dan bekas pemain Barcelona itu mendedahkan dia sememangnya sudah menjangka akan meledak gol daripada situasi bola mati.

"Sebelum perlawanan, saya sudah memaklumkan bahawa saya akan meledak gol menerusi tendangan bebas," kata Neymar. "Jadi, saya gembira dapat menyumbat gol seperti ini, ia penting buat pasukan.

"Ia perlawanan yang sangat rumit. Kami mengharungi separuh masa kedua yang menarik. Ia membolehkan kami mencapai kemenangan penting."

Kemenangan itu menguatkan cengkaman PSG di tempat teratas Ligue 1 apabila lapan mata mendahului Marseille menjelang pertemuan pasukan di tangga kedua itu menentang Bordeaux awal pagi esok.

Tuchel memuji barisan pemainnya kerana dapat mengendalikan sorakan penyokong tuan rumah yang menggerunkan dan di atas permukaan padang yang sukar di Montpellier.

Dia menambah: "Ia adalah kemenangan yang hebat, permainan yang bagus. Adalah sangat sukar untuk menang di sini, di padang yang dahsyat dalam suasana yang sangat menggerunkan ini.

"Mereka mencurahkan intensiti tinggi tetapi kami bertindak balas dengan menunjukkan kualiti. Kami juga meletakkan intensiti sepanjang 90 minit permainan dan ia merupakan satu tuntutan kerana pada akhirnya, ia akan menyukarkan mereka untuk berlari.

"Kami memberikan jawapan dengan kualiti dan mentaliti kami. Kami tetap tenang. Ia satu perlawanan yang luar biasa, satu kemenangan yang hebat dan tahniah kepada pasukan saya."