Tiada sebab Thomas Tuchel perlu membuat rombakan drastik di Paris Saint-Germain (PSG) selepas kekalahan 1-2 kepada Borussia Dortmund dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Jaringan berganda daripada Erling Haaland menyaksikan Dortmund meraih bekalan selesa dalam perlawanan pertama pusingan 16 minggu lalu yang menyaksikan Neymar mencetak gol.

PSG akan mengharungi aksi Ligue 1 bertemu Dijon dan Strasbourg di-celah-celah pertembungan separuh aksi Coupe de France menentang Lyon sebelum dituntut untuk bangkit dalam perlawanan UCL di Parc des Princes kelak.

Tuchel enggan mengulas mengenai kekalahan pertama PSG itu dalam 24 perlawanan yang disusuli dengan kemenangan mendebarkan 4-3 ke atas Bordeaux, minggu lalu.

Situasi itu menunjukkan bahawa mereka perlu mencari rentak menjelang perhitungan dengan bekas majikannya itu kelak.


"Kami tewas 1-2, ia boleh berlaku apabila sesebuah pasukan bertandang di Dortmund. Mereka adalah pasukan yang lebih ampuh. Mereka semakin kuat berbanding permulaan musim ini," katanya dalam sidang media menjelang kunjungan ke Dijon tengah malam ini.

"Mungkin kami kehilangan rentak permainan, tidak seperti yang diharapkan terhadap beberapa pemain utama. Kini bukan masanya untuk melakukan perubahan. Mereka benar-benar mahu melupakan perlawanan dengan Dortmund.

"Bagi kebanyakan pemain iaitu pemain utama, sudah tiba masanya untuk mereka mempamerkan keyakinan. Kami tewas sekali dalam 20 perlawanan.

"Kami tidak mahu mengubah terlalu banyak perkara bagi tujuan membiarkan beberapa pemain menggalas tanggungjawab memandangkan mereka mahu mengubah situasi ini selepas bertemu Dortmund.

"Mereka mahu menang esok disusuli di Lyon dan kami akan mengambil langkah demi langkah.

"Apabila kami tiba di Dortmund kelak, kami akan bersedia untuk menghadapi perlawanan itu."

Neymar dan Marco Verratti tidak akan menghadapi Dijon ekoran penggantungan manakala Thiago Silva, Ander Herrera, Colin Dagba dan Eric Maxim Choupo-Moting masih tersisih.

Ketiadaan Neymar akan menawarkan peluang buat Edinson Cavani, yang menjaringkan gol ke-200 bersama PSG dalam kemenangan ke atas Bordeaux.

Tuchel disoal mengenai pilihannya itu atau berhasrat mempertaruhkan Mauro Icardi, yang telah merekodkan 19 gol sejak menyertai pasukan Ligue 1 itu daripada Inter secara pinjaman.

"Anda sering menimbulkan persoalan yang sama. Dulu anda mempersoalkan tentang Edinson Cavani berada di bangku simpanan dan kini sebaliknya."