Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, mengharapkan Marco Verrati dan Angel Di Maria dapat diturunkan menjelang aksi menentang Napoli dalam Liga Juara-Juara selepas kedua-dua pemain itu terpaksa dikeluarkan ketika menewaskan Amiens 5-0, malam tadi.

Rekod kemenangan PSG berlanjutan kepada 10 perlawanan menerusi satu lagi kemenangan selesa selepas Marquinhos dan Adrien Rabiot menanduk masuk jaringan dalam babak pertama sebelum Julian Draxler, Kylian Mbappe dan pemain gantian, Moussa Diaby, melengkapkan kemenangan 5-0 mereka dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.

Tuchel merehatkan Neymar yang mewakili pasukan kebangsaan Brazil empat hari sebelum itu, namun kini dia berdepan dengan satu lagi kebimbangan.

Verrati terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat manakala Di Maria hanya bertahan sehingga minit ke-59.

PSG akan bertandang ke Naples bagi pertemuan dengan Napoli, minggu depan dan Tuchel yakin kedua-dua pemain itu, termasuk Thiago Silva, akan cergas untuk diturunkan.

"Verrati mengalami ketidakselesaan otot," kata Tuchel dalam sidang media.

"Sama seperti Di Maria, saya berasakan mereka dapat beraksi menentang Napoli nanti, begitu juga Thiago Silva yang menghadapi masalah sama ketika sesi latihan.

"Kami bermain dengan risiko yang besar hari ini."

PSG menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol dalam sembilan kemenangan terakhir mereka. Mereka memperoleh jaringan yang banyak pada penghujung permainan.

Tuchel mengakui keputusan terakhir itu melegakannya.

"Ia bukanlah persembahan yang baik daripada kami. Namun, kami bersungguh-sungguh dalam kerjasama sepasukan.

"Kami berhak memenangi perlawanan ini walaupun ia kelihatan terlalu tinggi," tambahnya.