Thomas Tuchel mencabar Edinson Cavani untuk melupakan kekecewaannya dan kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama Paris Saint-Germain (PSG).

PSG menghasilkan 17 gol dalam empat perlawanan terakhir tetapi penyerang veteran, Cavani, tidak dapat menikmati prestasi cemerlang pasukannya.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya menyaksikan kemenangan ke atas Nice dan Club Brugge dari bangku pemain simpanan dan cuma dapat beraksi selama 19 minit ketika menewaskan Marseille 4-0, yang juga penampilan pertamanya sejak pulih daripada kecederaan pinggul.

Mauro Icardi semakin menyesuaikan diri selaku penggempur utama PSG dan dilihat amat sukar untuk disaingi Cavani, yang kontraknya bersama pasukan itu akan tamat penghujung musim ini.

"Dia tidak gembira kerana kecederaan yang agak lama dan tidak dapat membantu kami," kata pengurus itu.

"Ia normal, dia mahu membantu kami dan kami memerlukannya, namun dia perlu bersaing untuk merebut tempat seperti orang lain.

"Ia amat sukar kerana pasukan ini beraksi dengan amat baik tanpanya.

"Peranannya mungkin akan diubah sedikit," katanya.

Cavani, tidak seperti Neymar yang masih cedera, sekurang-kurangnya boleh diturunkan untuk berdepan Dijon dalam perlawanan Ligue 1 awal pagi esok.

Pendahulu Ligue 1 itu dijangka akan meneruskan rekod cemerlang di depan gawang lawan, yang turut dirangsang penjaring enam gol dalam tiga perlawanan terakhir, Kylian Mbappe.

Tuchel memuji kecemerlangan penyerang kebangsaan Perancis itu walaupun khabar angin mengenai perpindahannya ke Real Madrid semakin bertiup kencang.

"Media Sepanyol ada di mana-mana! Di sini, di pejabat saya, dalam bilik persalinan," kata pengurus PSG itu berseloroh.

"Hubungan saya dengan Kylian amat baik. Dia budak lelaki yang sentiasa membuatkan saya tersenyum.

"Saya tidak akan berhenti mendorongnya.

"Itu caranya untuk menguruskan pemain berbakat seperti itu," katanya lagi.

Ander Herrera (kecederaan buku lali) dan Marco Verratti (betis), yang baru menandatangani kontrak lanjutan selama lima tahun kelmarin, tidak akan menyertai kunjungan ke Dijon kerana mengalami kecederaan ketika menentang Marseille manakala Thiago Silva akan turut terlepas aksi itu kerana masalah kesihatan.