Thomas Tuchel memuji kemampuan Kylian Mbappe dan Angel Di Maria selepas mereka mencetus inspirasi kemenangan 3-0 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Nice semalam.

Penyerang Perancis, Mbappe, membuat penampilan pertama bersama PSG musim ini berikutan dia yang positif dengan ujian coronavirus sebelum ini.

Dia kembali bersama PSG yang berdepan dua kekalahan sebelum ini kepada Lens dan Marseille sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Metz pada pertengahan minggu.

Di Maria turut diuji positif Covid-19 tetapi berjaya diturunkan dalam tiga perlawanan sebelum ini di sebalik kekurangan masa di sesi latihan.

Pemain sayap Argentina itu meledak gol dalam masa kecederaan separuh masa pertama selepas percubaan Mbappe menerusi sepakan penalti ditampan keluar penjaga gol, Walter Benitez.

Kapten pasukan, Marquinhos, memastikan tiga mata diraih menerusi tandukan pada minit ke-66 hasil sepakan percuma Di Maria.

"Saya tidak terkejut, namun kagum dengan mereka," kata Tuchel.


"Apa yang dipamerkan oleh Di Maria bukan senang. Dia beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas satu sesi latihan.

"Dia sentiasa membuktikan kemampuannya untuk melakukan perkara yang luar biasa. Sama seperti Kylian.

"Dia mengharungi perlawanan yang baik. Dia membuktikan sekali lagi dia mampu mengubah keputusan perlawanan dengan keyakinan serta dahaga untuk menjaringkan gol.

"Dia banyak membantu, saya sangat gembira.

"Kami kini perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya."