Thomas Tuchel tidak boleh menjelaskan kemarau Kylian Mbappe dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi yakin bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mampu mencipta impak ketika bertemu Manchester United.

Skuad kendalian Tuchel, yang tewas dalam aksi final musim lalu kepada Bayern Munich, berdepan cabaran untuk layak ke pusingan 16 musim ini selepas siri aksi kurang memberangsangkan dalam peringkat kumpulan.

United, yang menang di Paris, mendahului Kumpulan H dengan sembilan mata, dengan PSG dan RB Leipzig berkongsi enam mata menjelang dua perlawanan terakhir.

Kunci pergelutan PSG musim ini adalah di depan gol. Sementara United telah meledak 12 gol dalam empat perlawanan, PSG sekadar menemui jaringan lima kali.

United menyempurnakan 21.8 peratus percubaan berbanding 10.4 buat PSG.

Mbappe masih lagi belum menjaringkan gol dalam saingan UCL sejak mengatasi Galatasaray 5-0 11 Disember lalu, di sebalik melakukan 11 percubaan.



"Saya mengetahui mengenai statistik itu dan saya agak terkejut.

"Saya tidak dapat menjelaskannya kerana dia memiliki segalanya untuk menjaringkan gol di mana-mana peringkat. Dia memiliki kualiti, personaliti dan pengalaman."

Marcus Rashford merupakan penjaring gol kemenangan buat United dalam dua perlawanan di antara United dan PSG, menyingkirkan mereka di pusingan 16 pada musim 2018-19.

"Kami menilai dia juga ketika beraksi di England, bukan di Parc des Princes kerana ia menjadi agak menjengkelkan.

"Dia merupakan seorang pemain muda yang mengambil tanggungjawab dengan cemerlang. Saya bertemunya tiga kali selaku lawan, setiap kali saya bertemu dengan seorang yang tenang, merendah diri, dan baik. Saya menggemarinya."