Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berkata dia tidak mampu menjelaskan persembahan longlai pasukan kendaliannya itu dalam kemenangan 2-0 ke atas Nantes sambil mengakui dia mendapati pemainnya kurang yakin ketika beraksi.

Dalam aksi awal pagi tadi, Kylian Mbappe menyumbat gol selepas 52 minit untuk memberikan juara Ligue 1 itu pendahuluan di Parc des Princes dan Neymar menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan tetapi Nantes mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk mengikat kedudukan.

PSG perlu berterima kasih kepada Keylor Navas susulan aksi tangkasnya memastikan pendahulu liga itu meneruskan kelebihan lima mata di puncak Ligue 1 berbanding pasukan tangga kedua, Marseille.

Namun, Tuchel ditanya untuk menjelaskan mengapa prestasi PSG tidak begitu meyakinkan dalam aksi pertengahan minggu itu.

"Saya tidak tahu," katanya.

"Saya percaya kami mempunyai keinginan tetapi ia sukar. Tidak mudah pada hari ini dan kami mendapati sukar dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. Pasukan saya mempunyai keinginan tetapi ia sukar buat kami.

"Kami melepaskan empat situasi dalam empat minit pertama. Ia bola yang mudah. Ini tidak masuk akal jika kami mahu mengawal permainan, bermain secara menyerang dan menjadi pasukan dengan kawalan penuh."

Mendahului lima mata dan kelebihan satu perlawanan, PSG tidak mempunyai alasan untuk panik dalam kempen kali ini apabila bertandang ke Montpellier, Sabtu ini.

Namun, Tuchel -- yang perlu mempersiapkan pasukannya menjelang kunjungan ke Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pada 11 Disember ini -- berkata dia akan menganalisis prestasi berdepan Nantes untuk mengetahui punca kemerosotan permainan pasukannya.

"Kami menunjukkan keinginan tetapi hilang keyakinan. Kami melakukan keputusan buruk dan tidak bermain secara bebas.

"Saya tidak tahu, mungkin ia bukan satu-satunya faktor tetapi saya akan menonton semula perlawanan itu."