Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, membidas corak permainan kasar ditonjolkan Bayer Leverkusen selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-0 pada Sabtu.

Dortmund berpeluang merapatkan jurang dengan pendahulu Bayern Munich selepas juara musim lalu itu diikat seri 1-1 berdepan Cologne.

Bagaimanapun, gol disumbangkan Admir Mehmedi dan Javier Hernandez menghadirkan kekalahan kedua buat Dortmund musim ini.

Untuk memburukkan lagi keadaan, Dortmund turut kehilangan khidmat Gonzalo Castro dan Sebastian Rode yang mengutip kecederaan.

Senario itu membuatkan Tuchel berang dan berkata Leverkusen bernasib baik kerana menamatkan perlawanan dengan 11 pemain.

"Leverkusen membuat 21 kesalahan," Tuchel memberitahu Sky.

"Kami terpaksa membuat penukaran pemain ekoran kecederaan. Castro dan Rode gagal meneruskan permainan.

"Pemain penyerang saya sering dikasari. Mereka bermain dengan corak melampau.

"Bagaimana mereka mampu membuat 21 kesalahan tetapi masih mampu menamatkan perlawanan dengan 11 pemain."