Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, belum boleh memutuskan sama ada akan menurunkan penyerangnya, Edinson Cavani, ketika menentang Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Paolo, awal pagi esok.

Lawatan PSG ke Napoli merupakan aksi penting dalam Liga Juara-Juara memandangkan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 di Parc des Princes sebelum ini.

Napoli kekurangan satu mata di belakang pendahulu kumpulan C, Liverpool -- yang akan menentang Red Star Begrade-- manakala PSG satu mata di belakang Napoli.

Cavani berpeluang melakukan penampilan pertamanya di San Paolo sejak berpindah ke Paris pada 2013.

Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Uruguay itu terlepas aksi kemenangan ke atas Marseille dan Lille sebelum ini ekoran kecederaan paha.

Apabila ditanya sama ada penyerang itu akan diturunkan selepas ini, Tuchel menjawab dalam sidang media sebelum perlawanan: "Saya belum boleh memberikan keputusan siapa yang akan beraksi.

"Cavani ada bersama kami dan dia menyertai sesi latihan.

"Kami akan berikan keputusan itu kemudian."

Tuchel, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa penjaga gol, Gianluigi Buffon, akan diturunkan selaku kesebelasan utama.

Pemain veteran itu digantung tiga perlawanan Liga Juara-Juara Eropah selepas mengkritik pengadil perlawanan, Michael Oliver, ketika mewakili Juventus dalam aksi suku akhir menentang Real Madrid, musim lalu.

Buffon memainkan peranan penting bersama seorang lagi penjaga gol PSG, Alphonse Areola, sepanjang permulaan musim pertamanya bersama gergasi Perancis itu.

"Gigi dan Thiago Silva akan membantu kami nanti.

"Gigi sudah tahu keadan di sana dan dapat memberikan kelebihan dalam bilik persalinan.

"Kami tidak meragui kebolehan Areola tetapi Gigi berhak bermain menentang pasukan yang dia kenali di Itali.

"Saya gembira mempunyai dua penjaga gol yang menghormati satu sama lain. Ia sangat indah," tambah Tuchel.