Tuchel bangga PSG sapu bersih gelaran domestik

Oleh Muzaffar Musa 1 Ogos 2020 210
Tuchel bangga PSG sapu bersih gelaran domestik
Thomas Tuchel berbangga dengan Paris Saint-Germain (PSG) selepas pasukan itu menyapu bersih kesemua gelaran domestik dengan menewaskan Lyon dalam final Coupe de la Ligue awal pagi tadi.

PSG menewaskan Lyon 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas perhitungan di Stade de France itu berakhir 0-0 selepas 120 minit, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Tuchel itu memperoleh trofi domestik keempat bagi musim 2019-20.

Tuchel, yang pasukannya akan beraksi dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, berbangga dengan pencapaian PSG.

"Mereka adalah pemain yang boleh diharapkan, yang bermain, bekerja dan menderita bersama-sama.

"Ia menjadikan saya amat gembira. Saya amat berbangga dan gembira," katanya.

Pablo Sarabia menjaringkan sepakan penalti kemenangan buat PSG dalam penentuan itu, yang juga merupakan edisi terakhir Coupe de la Ligue.
 
Tuchel memuji pencapaian PSG memenangi keempat-empat gelaran musim ini, termasuk Ligue 1, Coupe de France dan Trophee des Champions.

"Kami tidak hilang konsentrasi, keinginan untuk menang, keyakinan, kami memenangi penentuan penalti dan itu yang penting.

"Kami memenangi empat gelaran ini, terdapat suasana yang baik di bilik persalinan.

"Dan saya amat gembira kerana semua orang berfikir amat mudah untuk menang tetapi ia tidak semudah itu.

"Memenangi empat gelaran merupakan keperluan pasukan ini dan saya amat gembira," katanya.

PSG akan berdepan Atalanta dalam suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon pada 12 Ogos ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen