Thomas Tuchel memuji Paris Saint-Germain (PSG) yang meraih satu mata di Strasbourg sambil berpendapat pemainnya bergelut untuk mempamerkan aksi cemerlang sejak menewaskan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

PSG menewaskan Liverpool dalam aksi penentuan hidup mati mereka di peringkat Eropah minggu lalu tetapi selepas itu, juara bertahan Ligue 1 tersebut telah diikat oleh Toulouse dan Strasbourg, sekali gus menamatkan rentetan kemenangan liga musim ini.

Skuad kendalian Tuchel itu memerlukan sepakan penalti Edinson Cavani untuk memadamkan gol pendahuluan Kenny Lala awal pagi tadi dan hampir dihukum dengan jaringan minit akhir lawan untuk keputusan seri 1-1.

Tatkala Tuchel tidak berdepan masalah dengan prestasi PSG yang menurun, dia mengakui sukar untuk mengekalkan persembahan cemerlang.

"Saya tidak boleh harapkan pemain saya menetapkan pemikiran sama seperti ketika berdepan Liverpool," kata Tuchel.

"Kami mempamerkan corak permainan menarik di Bordeaux dan hari ini, menyerang dan bertahan bersama."

"Namun, sukar untuk mendapatkan ruang apabila cuba mengawal serangan balas serta mengelak daripada kehilangan bola dengan mudah.

"Strasbourg dapat bertahan beberapa kali dan mereka bermain dengan penuh kualiti berbekalkan sokongan peminat."

Bagaimanapun, pemain tengah PSG, Julian Draxler, tidak gembira dengan prestasi pasukannya dan kini menggesa rakan sepasukan untuk bangkit menjelang aksi getir Liga Juara-Juara berdepan Red Star Belgrade.

"Saya tidak fikir kami bermain baik. Dalam babak pertama, kami gagal mendapatkan ruang," ujar Draxler.

"Strasbourg bertahan dengan baik. Sentiasa sukar apabila beraksi di sini. Seperti tahun lalu, kami tahu ia bakal jadi susah. Kami memberikan segalanya tetapi tidak mudah berdepan mereka.

"Ia keputusan seri kedua berturut-turut. Kami perlu meningkat kerana aksi seterusnya dalam Liga Juara-Juara sangat penting.

"Dalam satu musim, sentiasa ada detik sukar. Kami tidak tewas dan itu tidak boleh dilupakan tetapi kami tidak bermain lebih baik. Kebiasaannya, pasukan seperti kami akan menang di sini tetapi lawan adalah pasukan bagus dalam Ligue 1 dan ia telah dibuktikan."

PSG perlu menang di Serbia bagi memastikan tiket ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi masih memegang kelebihan 14 mata di puncak Ligue 1.