RED STAR 0 ARSENAL 1

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud, mengakui dia mempunyai sedikit tuah dengan jaringan kemenangan menakjubkan ke atas Red Star Belgrade dalam Liga Europa, awal pagi tadi.


Giroud meledak gol dengan tendangan akrobatik pada minit ke-85 untuk skuad kendalian Arsene Wenger itu meraih kemenangan 1-0 di Belgrade.

Pemain antarabangsa Perancis itu berkata dia lebih suka menghubungkan gerakan itu dengan rakan sepasukan tetapi tidak mempunyai pilihan sebelum dia berusaha keras melepaskan rembatan sukar itu.

"Dalam kedudukan itu, saya boleh mengawal bola dan cuba mencari rakan sepasukan lain," Giroud memberitahu UEFA.

"Tetapi saya tidak nampak sesiapa, jadi saya cuba untuk mengambilnya setakat yang boleh, lebih kurang seperti ketika menentang Crystal Palace (Januari lalu). Saya agak bertuah kerana bola itu menuju ke penjuru atas dan menyentuh belakang jaring lawan.

"Ia sesuatu yang bagus buat pasukan, saya gembira dengan pasukan ini kerana kami telah berjuang sehingga saat-saat akhir dan kami tetap percaya kepada permainan kami dan tahu ia akan menjadi aksi yang sukar dan hanya perlu bersabar serta bermain dengan kualiti kami.

"Ia sangat sukar berikutan suasana luar biasa di sini, suasana istimewa dengan orang ramai berada di belakang pasukan mereka tetapi kami sangat gembira dengan tiga mata."

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Arsenal dalam Kumpulan H dan selepas Red Star terpaksa bermain dengan 10 orang susulan kad merah kepada Milan Rodic.