Ante Rebic, Rade Krunic dan Theo Hernandez mendapat kebenaran untuk beraksi kembali menyarung jersi Milan.

Menjelang sepak mula dengan Juventus pada 6 Januari lalu, Rebic dan Krunic didapati positif COVID-19 lantas tidak lagi beraksi sejak itu.

Hernandez dan Hakan Calhanoglu pula dijangkiti pandemik itu dalam ujian yang dijalankan Sabtu lalu, justeru mereka tersisih ketika bertemu Cagliari semalam.

Semalam, Rossoneri memaklumkan Hernandez masih positif sementara Rebic dan Kurnic telah bebas daripada virus berkenaan.

Satu kenyataan kelab itu berbunyi: "Milan mengumumkan bahawa sampel ujian calitan Ante Rebic dan Rade Krunic adalah negatif dan pagi ini mereka telah menjalani ujian perubatan bagi meneruskan aktiviti profesional.

"Pemeriksaan lanjut menunjukkan Theo Hernandez masih 'positif palsu'. Dokumentasinya telah diserahkan kepada pihak kesihatan dan pemain ini juga boleh meneruskan latihan."

Milan menguasai tangga teratas Serie A dengan kelebihan tiga mata di depan seteru kota, Inter, yang akan mereka hadapi dalam Coppa Italia minggu depan.

Namun, sebelum itu mereka perlu menghiburkan Atalanta dalam pertembungan liga di San Siro, awal pagi Ahad ini.