Yaya Toure membatalkan keputusannya untuk bersara daripada pentas antarabangsa dan menyuarakan kesediaannya bagi pemilihan oleh skuad Ivory Coast.

Pemain tengah Manchester City itu mengundurkan diri daripada tugas pasukan kebangsaan pada September 2016 selepas membuat 113 penampilan dalam 14 tahun.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu mahu bermain untuk negaranya sekali lagi dan mahu membantu pemain muda.

Menulis di Twitter, dia berkata: "Saya sayang negara saya dan bersedia untuk pemilihan pasukan kebangsaan. Saya mahu membantu generasi seterusnya dan menggunakan pengalaman saya untuk membuat rakyat Ivory Coast bangga!!"

Pada Sabtu lalu, ejennya, Dimitry Seluk, berkata Toure begitu bersemangat untuk memenangi trofi bersama Ivory Coast setelah menjulang Piala Negara-Negara Afrika dua tahun lalu.

"Toure memutuskan untuk kembali ke pasukan kebangsaan Ivory Coast. Dia mahu memenangi trofi bersama Ivory Coast," katanya.

Toure membuat keputusan itu walaupun kurang bermain untuk City pada musim ini.

Dia hanya membuat tiga penampilan gantian dalam liga utama England sejak menandatangani kontrak baru setahun di Stadium Etihad pada Jun lalu.

Ivory Coast gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tahun depan selepas kalah kepada Maghribi bulan lalu.