Tottenham tewas, Dier bertelingkah dengan penyokong sendiri 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mac 2020 780
 Tottenham tewas, Dier bertelingkah dengan penyokong sendiri 
TOTTENHAM 1 NORWICH CITY 1
(Norwich mara melalui penentuan sepakan penalti 3-2)     

Pemain tengah, Eric Dier, naik ke bangku penonton dan bertelingkah dengan penyokong susulan kekalahan dalam pusingan kelima Piala FA Tottenham kepada Norwich City kerana mempunyai kaitan dengan adik lelakinya.


Spurs disingkirkan daripada kejohanan berkenaan pada awal pagi tadi menerusi penentuan sepakan penalti 2-3 yang menyaksikan Tim Krul menyelamatkan dua tendangan setelah perlawanan di London itu yang berlanjutan ke masa tambahan masih terikat 1-1.

Jan Vertonghen terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-13 sebelum Josep Drmic mengimbangi kedudukan, 12 minit menuju masa kecederaan.

Dier menyempurnakan sepakan penaltinya itu tetapi kecewa dengan tindakan penyokong sejurus wisel penamat ditiupkan sebelum menuju ke tempat duduk penyokong.

Ketika stadium yang hampir kosong, pegawai keselamatan terpaksa memisahkan pemain antarabangsa England itu dengan individu terbabit tetapi rakaman pergeseran mereka pantas berlegar di media sosial.

Ditanya mengenai perselisihan itu dalam sidang media selepas perlawanan, Mourinho berkata: "Saya tidak fikir ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada perlawanan. Pertemuan ini mewakili saingan hebat Piala FA tetapi saya tidak boleh lari daripada soalan ini.

"Saya fikir Eric Dier telah melakukan sesuatu yang kami sebagai pemain profesional tidak boleh lakukan tetapi apabila seseorang menghina anda dan keluarga anda terlibat, terutama melibatkan adik lelaki anda.

"Lelaki terbabit menghina Eric, adik lelakinya tidak gembira dengan keadaan itu, begitu juga Eric sendiri. Kami yang dalam bidang profesional ini tidak boleh bertindak seperti apa yang telah dilakukannya."

Mourinho tidak mahu Tottenham menghukum Dier berhubung tindakannya itu sambil menambah: "Jika kelab mengenakan tindakan disiplin terhadap Eric Dier, saya tidak bersetuju tetapi apa yang dilakukannya adalah salah."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen