Fernando Torres percaya Lionel Messi adalah pemain terbaik di dunia dan bintang Barcelona itu akan meraih pencapaian dua kali ganda dalam kariernya jika tanpa kehadiran bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo memenangi Anugerah Ballon d'Or buat kali kelima pada awal bulan ini untuk menyamai pencapaian Messi, dan kedua-dua bintang pujaan dunia itu terus berjuang untuk memastikan kelebihan bersama kelab mahupun secara individu.

Juara LaLiga, Madrid, akan mengalu-alukan pendahulu LaLiga itu bagi pertemuan El Clasico di Santiago Bernabeu, jam 8 malam (waktu Malaysia) pada Sabtu ini.

Lantas, penyerang Atletico Madrid, Torres, memuji kelibat Messi dan pemain Sepanyol itu juga tidak terlepas daripada memuji Ronaldo kerana pencapiannya dalam era penjaring terbaik Barca itu.

"Apa yang dilakukan Cristiano Ronaldo ketika kehadiran Messi sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya tentang dia," kata Torres kepada Radio MARCA.

"Sekiranya dia tidak berada di sana, maka Messi akan mencipta pencapaian berganda.

"Saya fikir Messi adalah pemain terbaik di dunia sungguhpun kedua-duanya adalah pemain yang berbeza."

Messi telah menjaringkan 14 gol dalam LaLiga untuk membantu Barca mengelak sebarang kekalahan dengan kelebihan enam mata manakala Atletico di tangga kedua selepas 16 perlawanan.

Madrid menghuni tangga keempat dan tercicir 11 mata, namun mempunyai kelebihan satu perlawanan yang menyaksikan Ronaldo hanya merekodkan empat gol liga setakat ini.