Pasukan Topup FC muncul juara Kejohanan Futsal Terbuka Hari Sukan Negara (HSN) 2016 Peringkat Negeri Terengganu selepas menang 2-0 ke atas Batik FC di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuala Terengganu, hari ini.

Pasukan dari Dungun itu muncul pasukan terbaik dalam kalangan 48 pasukan yang bertanding dengan menampilkan aksi konsisten sejak peringkat kumpulan.

Futsal adalah antara acara kemuncak sambutan HSN di negeri ini selain beberapa acara lain seperti kejohanan bola sepak pantai, badminton, bola jaring, bola keranjang, berbasikal dan sukan tradisional.

Menurut Timbalan Pengarah Belia dan Sukan Negeri, Mazlan Anis, penerimaan dan sambutan HSN di Terengganu tahun ini cukup menggalakkan kerana penyertaan dalam kesemua acara yang diadakan lebih daripada jangkaan.

“Lebih 7,000 rakyat Terengganu hadir pada majlis pelancaran di Dataran Pantai Batu Buruk pagi ini untuk sama-sama turun padang memeriahkan acara dan sambutan yang disediakan.

“Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negeri (MSN) sentiasa menitikberatkan penglibatan, khususnya belia, dalam bidang sukan. Bulan ini adalah kemuncak HSN, jadi sambutan yang diterima cukup baik.

“Aktiviti yang diadakan adalah untuk semua lapisan masyarakat, termasuk orang kelainan upaya (OKU).

“Untuk acara futsal ini, kami adakan sejak semalam (Jumaat) kerana penyertaan pasukan-pasukan semakin bertambah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, menyifatkan masyarakat di Terengganu semakin sedar kepentingan bersukan dan beriadah bersama keluarga.

“Orang ramai sudah prihatin untuk menjaga kesihatan diri, jadi dengan pelancaran HSN serentak di seluruh negara, ini adalah peluang untuk sama-sama bersukan dari siang hingga ke malam.

“Saya bersyukur dengan penerimaan rakyat di negeri ini kerana ini platform terbaik, bukan sekadar untuk memenangi hadiah tetapi juga untuk mengeratkan hubungan dan menjaga kesihatan,” ujarnya.