Pengerusi Kelab Bola Sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers), Tan Sri Tony Fernandes, mahu format Liga FAM musim depan dirombak kerana dilihat kurang menarik dan tidak praktikal dalam menarik perhatian peminat.

Antara cadangannya ialah menggabungkan kembali Piala FAM kepada hanya satu saingan liga berbanding format asal, iaitu pecahan kepada dua kumpulan.

Bukan sahaja pemain turut mendapat lebih banyak perlawanan, malah beliau berasakan format itu lebih menarik perhatian peminat.

Selain itu, beliau berasakan perlawanan akhir Piala FAM perlu diadakan hanya sekali tanpa perlu ada format timbal balik.

"Ia sangat penting untuk kita mempunyai satu liga, bukannya dua," katanya. "Kami suka kepada kenaikan kejohanan, dua (pasukan terbaik) secara automatik dan satu play-off. Play-off sepatutnya empat pasukan.

"Final sepatutnya hanya satu perlawanan untuk membuatkan ia lebih menarik. Ia juga memerlukan masa yang baik. Perlawanan ILiga) FAM diadakan pada jam 8 malam, hari Ahad, siapa yang mahu datang?

"Tetapi pada Sabtu petang atau awal malam adalah masa yang baik untuk bawa keluarga. Kami akan menjadikan ia acara keluarga di sekitar stadium," katanya ketika ditemui dalam majlis perjanjian persefahaman cadangan menaik taraf Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi syarikat miliknya, AirAsia.

Selepas ini, stadium tersebut bakal dikenali sebagai Stadium AirAsia-MBPJ dengan jumlah penajaan kira-kira RM6 juta bagi tempoh lima tahun.

"Pejanjian dengan AirAsia selama lima tahun ini diharapkan boleh mempertingkatkan (stadium), seperti Tony maklumkan, iaitu melibatkan padang dan bilik persalinan," kata Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Sebelum menggunakan nama PJ Rangers pada 9 Ogos lalu, kelab itu dikenali sebagai AirAsia Allstars FC, dengan Stadium Airasia-MBPJ bakal menjadi gelanggang tuan rumah.