Tony Fernandes tidak berhasrat rebut jawatan presiden FAM

Oleh Staff Writer 7 Disember 2016 2
Tony Fernandes tidak berhasrat rebut jawatan presiden FAM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, tidak berhasrat untuk merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dua faktor, iaitu masih belum mempunyai pengalaman dan ada individu lain yang lebih layak.

Biarpun pernah meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan itu, beliau berpandangan perlu memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada pasukannya, AirAsia FC, yang bakal dikenali sebagai Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

Selain mahu memahami selok-belok bola sepak Malaysia, Fernandes juga berasakan jawatan berkenaan lebih sesuai diberikan kepada mereka yang lebih berpengalaman.

“Saya berpendapat saya tidak berhak untuk mendapatkan jawatan sebagai presiden FAM. Saya berasakan saya harus melakukan sesuatu di dalam arena bola sepak tempatan terlebih dahulu dan perlu mendalami lagi pengetahuan mengenai bola sepak Malaysia,” katanya.

Dalam majlis pengenalan skuadnya untuk musim depan, Fernandes mengumumkan AirAsia FC bakal dikenali sebagai PJ Rangers serta menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Stadium MBPJ) sebagai gelanggang utama.

Tujuan utama penjenamaan semula pasukan itu ialah untuk mendapatkan sokongan komuniti setempat Petaling Jaya dalam kempen Piala FAM musim depan.

Bekas jurulatih Melaka, Mat Zan Mat Aris, dilantik menjadi jurulatih baharu PJ Rangers dan beberapa nama besar yang turut bersama skuad itu ialah Tuah Iskandar, Fahrul Razi Kamaruddin dan See Kok Luen.

“Kami memiliki beberapa pemain berkualiti daripada Harimau Muda (kini dikenali Skuad Projek 2017) dan skuad bawah 21 tahun Selangor.

"Saya menyedari strategi yang telah saya lakukan bersama Queen's Park Rangers (QPR) tidak membuahkan hasil.”

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen