Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, belum mahu menarik diri daripada minat untuk menduduki 'kerusi panas' presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan menegaskan dirinya bersedia untuk dicalonkan.

Fernandes menjadi individu pertama menyatakan kesediaan untuk menerajui barisan kepimpinan FAM untuk penggal akan datang.

Mendapat reaksi pelbagai pihak, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, melontarkan pandangan bahawa Fernandes tidak layak menerajui badan induk itu kerana dikhuatiri tidak memahami bola sepak tempatan.

Namun, kenyataan Annuar itu tidak melunturkan semangat pemilik kelab Queens Park Rangers FC dan AirAsia FC ini untuk terbabit dalam bola sepak tempatan, termasuk merebut jawatan presiden FAM.

"Anda tahu perjalanan masih panjang untuk dilalui. Katakan orang ramai memerlukan saya dan kita lihat apa yang boleh saya sumbangkan," katanya. "Tidak semestinya saya perlu menjadi presiden FAM, ada banyak lagi jawatan yang lain dan mungkin ada calon yang lebih baik untuk menjadi presiden.

"Tetapi jika ditanya adakah saya akan membantu bola sepak Malaysia, saya akan dan kami sangat komited kepada kelab bola sepak AirAsia dan kami mahu membina akademi."

Sebelum ini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan presiden dan bersetuju menyerahkan mandat kepada ahli gabungan bagi menentukan barisan kepimpinan baru dalam Kongres Tahunan FAM Ke-53, awal tahun depan.

Tengku Abdullah terpilih sebagai presiden badan bola sepak negara itu pada Mei 2014 untuk tempoh empat tahun.

Terdahulu, AirAsia meraikan kejayaan atlet Paralimpik dari rantau Asia Tenggara yang meraih pingat dalam Sukan Paralimpik Rio, bulan lalu.

Sebagai imbuhan, AirAsia menghadiahkan penerbangan percuma membabitkan 12 pemenang emas, tujuh pemenang perak dan 12 pemenang gangsa.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly adalah antara pemenang emas yang menerima penerbangan percuma seumur hidup.

"Ia sebenarnya meningkatkan lagi semangat kami untuk terus menjadi lebih baik dan lebih maju dalam sukan untuk masa yang akan datang," kata Ziyad mengulas mengenai hadiah berkenaan.