Sandro Tonali menyifatkan perpindahannya menyertai gergasi Serie A, Milan adalah impian jadi kenyataan selepas tiba dari Brescia.

Milan mengumumkan telah menandatangani pemain sensasi Itali, Tonali secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli dengan yuran perpindahan bernilai EURO35 juta.

Tonali menyokong Milan sejak kecil dan pemain berusia 20 tahun itu meluahkan kegembiraannya atas perpindahan ke kelab kegemarannya itu.

"Ini merupakan perasaan yang sangat kuat dan sangat gembira," kata Tonali.

"Menyarung jersi Milan adalah impian saya."

Tonali, kerap kali dibandingkan dengan legenda Itali, Andrea Pirlo, sebelum ini telah dikaitkan dengan Inter berikutan penyingkiran Brescia daripada saingan Serie A.

Pemain tengah berbakat itu dikenali dengan kebolehan untuk menggelecek serta melakukan hantaran, Tonali telah menjaringkan satu gol dan melakukan tujuh bantuan jaringan bersama Brescia musim 2019-20.

Tonali –- yang turut dilaporkan menolak tawaran Barcelona dan Manchester United –- telah memainkan peranan ketika membantu Brescia melangkah ke saingan Serie A pada 2018-19.

Skuad kendalian Stefano Pioli itu berdepan Shamrock Rovers dalam saingan kelayakan Liga Europa 17 September ini sebelum pembukaan kempen Serie A berdepan Bologna 21 September.