Sandro Tonali cenderung untuk berpindah ke Juventus atau Inter, menurut pemilik Brescia, Massimo Cellino -- satu berita yang akan menjadi tamparan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona.

Pemain tengah, yang dalam buruan banyak kelab, itu terus membina reputasinya musim ini biarpun Brescia bergelut di tangga bawahan Serie A.

Dengan kelab itu terancam disingkirkan dalam Serie A, pemain berusia 20 tahun tersebut kelihatan hampir pasti akan dihujani tawaran daripada deretan kelab gergasi.

Cellino yakin Tonali akan kekal di Itali apabila memberitahu Corriere dello Sport bahawa pemain itu tidak berminat untuk menyertai jaguh Ligue 1, PSG.

"Nasser (Al-Khelaifi, presiden PSG) mendambakannya di Paris, dia ada menghantar mesej kepada saya hari ini tetapi Tonali tidak mahu ke Perancis," kata bekas pemilik Leeds United dan Cagliari itu sebelum mendedahkan Napoli dan Fiorentina turut berminat, namun ia mungkin tidak menjadi kenyataan berikutan minat daripada kelab gergasi Serie A yang lain.

"Inter dan Juve antara destinasi yang disukainya. (Presiden Napoli, Aurelio) De Laurentiis telah menawarkan saya €40 juta (RM191j), Fiorentina juga menginginkannya tetapi takdirnya sudah tertulis."

Tonali juga kononnya menjadi subjek pertukaran pemain daripada Barcelona.

"Sebelum COVID-19, Barcelona telah menawarkan €65j (RM310.4j) ditambah dua pemain muda yang sangat menarik dengan masing-masing bernilai €7.5j (RM35.8j). Seorang daripadanya merupakan pertahanan," tambahnya.

"Saya percaya bahawa Catalans telah menerima jawapan yang tidak mereka sukai. Ia bukan keputusan daripada Tonali sendiri."


Brescia akan menyambung semula saingan musim ini menentang Fiorentina 22 Jun depan, lantas Cellino menegaskan belum ada keputusan muktamad yang akan dibuat mengenai masa depan bintang muda tersebut sehingga kempen ini dilengkapkan.

"Saya tidak berurusan dengan sesiapa pun. Masih ada sisa 12 perlawanan dan pemain harus kekal tenang," tambahnya.