Pemain yang sedang menjadi sasaran Juventus dan Inter Milan, Sandro Tonali, mahu kekal dalam Serie A, kata pemilik Brescia, Massimo Cellino.

Tonali mencuri perhatian selepas mencipta sensasi bersama Brescia -- bintang Itali itu sedang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, Inter, Manchester United, Manchester City dan Barcelona.

Cellino memberikan bayangan tentang masa depan Tonali dengan menepis dakwaan bahawa pemain berusia 20 tahun itu akan dilepaskan melalui cara pertukaran dengan pemain lain.

"Setakat ini, hanya terdapat beberapa panggilan telefon tanpa ada apa-apa yang lebih daripada itu," katanya kepada Gr Parlamento.

"Sukar untuk memperkatakan (tentang pasaran pemain) selepas segala yang terjadi tetapi harap-harap pemain muda itu dapat menikmati aksinya di atas padang seperti sebelum ini.

"Saya tidak mahu semua khabar angin ini membawa kepada masalah lain, di mana ia menjejaskan peluang kami untuk kekal dalam liga.

"Inter dan Juve, kedua-duanya telah bertanyakan kepada saya tentangnya, ada juga pasukan lain.

"Buat masa ini, pemain itu mahu kekal di Itali dan kami akan membantunya.

"Saya tidak gemar perjanjian pertukaran. Kami tidak terdesak," katanya.

Tanti auguri!!!??????

A post shared by Sandro Tonali (@sandrotonali) on


Tonali, yang memainkan peranan penting di ketika Brescia dinaikkan daripada Serie B musim lalu, kerap dibandingkan dengan legenda Itali, Andrea Pirlo.

Bintang yang sedang menjadi rebutan itu menghasilkan satu gol dan lima bantuan jaringan sebelum musim 2019-20 direhatkan berikutan pandemik koronavirus Mac lalu.

Brescia ketinggalan sembilan mata daripada zon selamat selepas 26 perlawanan dan bersedia untuk meneruskan perjuangan dengan menentang Fiorentina pada Isnin depan.