Neymar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku perselisihan di antaranya dan pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery.

Menurut satu laporan dalam L'Equipe, hubungan di antara kedua-duanya kini dingin hanya beberapa bulan selepas Neymar berpindah ke PSG dari Barcelona untuk rekod yuran perpindahan €222 juta (RM1.1 bilion) pada Ogos lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu tampil untuk menafikan semua khabar angin itu sambil menambah hubungannya dengan Edinson Cavani – kedua-duanya bertelingkah terhadap siapa yang harus mengambil sepakan penalti dalam kemenangan 2-0 ke atas Lyon pada September lalu – juga baik.

“Saya berasa sangat baik di Paris, saya gembira. Saya bermotivasi untuk memberi segala-galanya di atas padang,” Neymar memberitahu satu sidang akhbar selepas menyumbang jaringan dalam kemenangan 3-2 Brazil ke atas Jepun, semalam.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan Cavani, saya tidak mempunyai masalah dengan jurulatih.

"Saya mahu anda berhenti mereka cerita yang saya punya masalah dengan jurulatih saya. Saya di sini untuk membantu, untuk membuat sumbangan, saya di sini untuk membantu jurulatih saya.

“Ia sesuatu yang mengganggu fikiran saya dan saya turut membincangkannya dengan (jurulatih Brazil) Tite. Jadi, tolonglah berhenti.

“Adalah mudah untuk anda mendengarnya daripada mulut saya sendiri. Saya tidak punya masalah dengan PSG, apa yang mengganggu saya adalah tekanan daripada media.

“Saya seorang yang suka menang, saya suka memenangi gelaran dan saya ke PSG atas sebab itu. Saya gembira, saya gembira ketika meninggalkan Barcelona dan saya berasa gembira sekarang,” katanya.