Ketua jurulatih Brazil, Tite, menegaskan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Venezuela merupakan satu langkah lagi menuju ke Piala Dunia 2018.

Susulan kemenangan terbaru itu, juara lima kali itu berada di puncak kumpulan Kelayakan Konfederasi Sepak bola Amerika Selatan (CONMEBOL) menerusi jaringan Gabriel Jesus dan Willian.

Kedudukan itu turut dipengaruhi keputusan seri yang dilakar Uruguay dalam perlawanan ke-10 mereka.

Tite, bagaimanapun, mendakwa Brazil masih lagi jauh untuk mengesahkan tempat mereka dalam pusingan akhir di Russia dengan menegaskan fokusnya tertumpu kepada aksi di Merida, berbanding pertembungan dengan seteru ketat, Argentina, bulan depan.

"Saya hanya memikirkan (perlawanan menentang) Venezuela dan kami memerlukan keputusan dan persembahan ini dalam situasi teruk," katanya sejurus tamat perlawanan.

"Saya tahu berapa lama anda (wartawan) untuk sampai ke tahap ini. Kami juga menghadapi kesukaran ini -- apatah lagi keadaan padang, tahap daya saing yang tinggi dan pertempuran merebut mata.

"Hanya kerana kami mengetuai (kedudukan kelayakan), ia tidak bermakna kedudukan ini terjamin. Ia menyuntik keyakinan dan kami kembali konsisten tetapi ia hanyalah selangkah ke hadapan."

Di sebalik prestasi baik di bawah bimbingannya, Tite berasakan pujian harus dikongsi bersama pemain-pemainnya.

"Apabila mereka bermain secara individu, ya (ia memalukan). Ini merupakan hasil kerja berpasukan. Jika anda tidak memiliki atlet berkualiti, tiada guna mengetengahkan permainan berkemahiran tinggi."