Tite positif walaupun Brazil diikat Nigeria

Oleh Staff Writer 14 Oktober 2019 422
Tite positif walaupun Brazil diikat Nigeria
BRAZIL 1 NIGERIA 1

Pengendali Brazil, Tite, memuji peningkatan pasukannya dalam babak kedua meskipun kecewa setelah diikat Nigeria 1-1 sehingga menyebabkan anak buahnya meneruskan empat aksi tanpa kemenangan dalam aksi persahabatan di Singapura, semalam.


Gol penyamaan oleh Casemiro sebelum rehat membolehkan The Selecao mengelak kekalahan selepas Joe Aribo membuka tirai jaringan.

Pemenang Copa America itu turut menerima tamparan selepas kehilangan khidmat bintang, Neymar, akibat kecederaan paha ketika permainan berusia 12 minit.

Penggantinya, Philippe Coutinho, mensia-siakan peluang pada lewat permainan dan pemain tengah Real Madrid, Casemiro, menyaksikan tandukannya menggegarkan palang tatkala Brazil gagal memperbaiki keputusan susulan seri 1-1 ketika berdepan Senegal, Khamis lalu.

"Keputusan itu tidak mencukupi," kata Tite.

"Daripada segi keputusan, skuad Brazil sentiasa mahukan kemenangan.

"Namun, dalam babak kedua terutamanya, kami meraih peluang terbaik. Kami mengawal permainan dan kreatif.

"Tidak berguna jika mengawal permainan tanpa mencipta peluang tetapi kami melakukannya. Cuma, kami tidak begitu efektif untuk menjaringkan gol."

Susulan aksi buruk dalam separuh masa pertama, Brazil kini gagal menewaskan Colombia, Peru, Senegal dan Nigeria sejak menjuarai Copa America di laman sendiri, Julai lalu.

Anak buah Tite itu seharusnya tidak perlu bekerja keras sekiranya Marquinhos melakukan halangan yang lebih berkesan ketika cuba menyekat usaha pemain tengah lawan, Aribo, yang menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-35.

Namun, bek tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada seluruh pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Kami perlu pantas mendapatkan semula rentak permainan," katanya.

"Kami melepaskan gol dalam empat aksi terakhir. Kami perlu meningkatkan pasukan secara kolektif, kemudian aksi individu akan diperbaiki."

Brazil akan berdepan seteru utama, Argentina, di Riyadh pada 15 November depan sebelum menamatkan jadual 2019 dengan aksi persahabatan menentang Korea Selatan di Abu Dhabi, empat hari kemudian.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen