Tite menolak andaian bahawa Lionel Messi merupakan pemain terhebat sepanjang zaman dengan menegaskan perbandingan di antara pemain itu dan legenda Brazil, Pele, sebagai tidak sesuai.

Ketua jurulatih Brazil itu bertikam lidah dengan Messi dalam perlawanan persahabatan menentang Argentina, Sabtu lalu, dengan dia mendakwa Messi mengarahkannya untuk diam selepas pasukan kendaliannya tewas 1-0 di Riyadh, Arab Saudi.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-50 Pele meraikan jaringannya yang ke-1,000 dan bercakap menjelang perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan di Abu Dhabi awal pagi esok, Tite menjelaskan Pele berada jauh di depan untuk dibandingkan dengan Messi.

Dia berkata: "Pele tiada tandingan. Sesiapa sahaja yang membandingkan Pele dengan atlet lain, anda tahu apa yang akan saya lakukan? Saya hanya mendengarnya dengan acuh tak acuh.

"Orang seperti itu tidak mengenali sejarah dan kualiti yang dimiliki (Pele), dia merupakan fenomena.

"Sebelum ini, saya pernah kata yang Messi luar biasa.

"Maksud saya, dia luar biasa berbanding manusia lain pada waktu ini dengan kreativiti yang dimilikinya.

"Pele berada di luar kebiasaan dan saya katakannya bukan kerana saya warga Brazil.

"Anda tidak dapat cari sebarang cacat-celanya.

"Jika seseorang datang kepada saya dan cuba untuk membanding-bandingkannya, bagi saya ia tidak sesuai," katanya.

Kekalahan kepada Argentina itu bermakna Brazil tidak pernah menang dalam lima perlawanan terakhir tetapi Tite kekal dengan falsafahnya bersama juara Copa America itu.

Dia menambah: "Saya tidak terdesak untuk menang. Saya sedar dengan tekanannya tetapi tiada sebarang keadaan yang mendesak.

"Apa yang saya mahu ialah persembahan yang hebat," katanya lagi.

Tite turut memberikan amaran bahawa ancaman daripada Korea Selatan bukan hanya melibatkan penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

"Kami tahu kekuatan Korea selepas mereka menewaskan Jerman (dalam Piala Dunia) dan kami menghormati mereka.

"Kami tahu kekuatan individu mereka, bukan hanya Son, mereka mempunyai pemain lain dan keseluruhan pasukan," tambahnya.