Tite bertegas bahawa Brazil akan bersiap menghadapi Piala Dunia 2018 seolah-olah mereka akan berdepan Sepanyol atau England di sebalik mendapat undian yang agak mudah, semalam.

Juara dunia lima kali dan juga jagoan Amerika Selatan itu akan berdepan dengan Switzerland, Costa Rica dan Serbia dalam Kumpulan E di Russia tahun depan.

Bagaimanapun, Tite berkata pendekatan pasukannya tidak akan berubah tanpa mengira lawan yang akan dihadapi.

“Keperluan untuk berdepan Switzerland, Serbia dan Costa Rica adalah serupa untuk menentang Sepanyol, England atau mana-mana pasukan. Ia adalah perkara yang sama,” katanya.

"Saya hanya terfikir – dan ini adalah kepercayaan saya – untuk mengawal apa yang ada dalam kawalan saya, untuk mencurahkan tenaga saya dalam perkara ini, iaitu untuk membuat Brazil lebih padu dan berkembang,” tambahnya,

Brazil layak ke Piala Dunia 2018 dengan mengungguli kelayakan CONMEBOL yang sukar, dengan berkelebihan 10 mata di tangga teratas.

Sambil Tite mengakui pasukannya adalah antara pasukan pilihan dalam pusingan akhir di Russia, beliau berkata masih ada ruang untuk peningkatan.

“Kami masih perlu memperbaiki bahagian taktikal, persiapan fizikal dan memerlukan pengubahsuaian untuk pemain-pemain tiba dalam keadaan terbaik,” tambahnya.

“Kami juga perlu bersiap daripada segi mental untuk menangani tekanan dan jangkaan.

“Kami adalah pasukan pilihan tapi masih ada pasukan-pasukan lain,” katanya lagi.