Tite akui skuad Samba gagal pamer kemampuan sebenar 

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2019 935
 Tite akui skuad Samba gagal pamer kemampuan sebenar 
BRAZIL 1 SENEGAL 1 

Tite mengakui pasukan bimbingannya bergelut untuk menonjolkan permainan terbaik selepas Brazil kemarau kemenangan dalam perlawanan ketiga apabila seri 1-1 dengan Senegal, malam tadi. 


Famara Diedhiou menyumbat gol dalam separuh masa pertama aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Singapura itu untuk membatalkan jaringan pembukaan Roberto Firmino pada minit kesembilan.

Brazil terikat 2-2 dengan Colombia dan tumbang 0-1 kepada Peru dalam perlawanan persahabatan bulan lalu yang merupakan kemarau kemenangan terpanjang mereka sejak 2013.

Juara Copa America itu pada suatu ketika hampir ketinggalan berikutan percubaan Sadio Mane singgah di tiang gol untuk meninggalkan pengurus Brazil itu akur dengan kritikan yang dilemparkan.

"Kami beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar, skuad ini mempamerkan permainan yang kurang berkesan," kata Tite dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami kurang berdaya saing seperti yang sepatutnya, skuad ini sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik lagi. Ini bukan satu prestasi yang bagus.

"Kami memerlukan kemenangan. Apabila gagal, kritikan akan timbul dan saya perlu bertindak dengan matang untuk menyerapnya."

Tite menggunakan formasi 4-4-2 dalam aksi di Singapura itu yang menyaksikan Neymar bergandingan dengan Firmino di bahagian serangan pada permulaan perlawanan. 

Dalam babak pertama, Neymar, yang membuat kemunculan ke-100 buat Brazil, hampir meledak gol dalam kepulangannya ke pangkuan skuad itu, namun Alfred Gomis tangkas menafikan usahanya.

Ditanya mengenai prestasi penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu, Tite berkata: "Dia kembali ke corak perlawanan normalnya.

"Kami juga membuat penyesuaian untuknya dalam formasi 4-4-2 seperti yang kami lakukan terhadap keseluruhan pasukan."

Brazil akan menyambung aksi mereka dengan menentang Nigeria dalam satu lagi perlawanan ujian di gelanggang yang sama, Ahad ini.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen